Syria, Hadapi Kemelut Berpanjangan

Syria, 30 MEI 2019 – Krisis yang tidak berkesudahan di barat laut Syria terus memberi kesan kepada penduduk awam, infrastruktur dan bantuan kemanusiaan di Selatan Hama dan Utara Idlib sehingga menyebabkan jumlah pelarian meningkat kepada 307,434.

Setakat 29 Mei, kemelut ini menjejaskan lebih 200 orang awam, melibatkan sekurang-kurangnya 20 wanita dan 20 kanak-kanak terbunuh, manakala yang lain mengalami kecederaan.

Serangan udara dan tembakan telah memusnahkan 20 kemudahan kesihatan, 25 sekolah, tiga penempatan pelarian dalam negara (IDP), kem pelarian dan tanaman utama seperti gandum dan barli.

Sehingga kini, 49 kemudahan kesihatan dilaporkan telah menggantungkan perkhidmatan mereka secara total atau sebahagian. Malah, Pusat Program Imunisasi (EPI) juga telah menghentikan imunisasi rutin.

IR Syria mempunyai akses di barat utara Syria dan sudah berkhidmat kepada penduduk yang terjejas menerusi program yang sedang berjalan termasuk dari segi kesihatan dan makanan.

Bantuan kemanusiaan amat diperlukan termasuk perlindungan, barang-barang kebersihan di dalam dan di luar kem, tepung gandum untuk menghasilkan roti, pek makanan, perkhidmatan penjagaan kesihatan trauma, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta pendidikan kecemasan.