Di sebalik keindahan putih salju yang diimpikan oleh kebanyakan orang, tersingkap penderitaan buat mereka yang perlu berhadapan dengan ancaman cuaca sejuk melampau.
Cuaca sejuk melampau di musim sejuk sebenarnya mampu meragut nyawa manusia. Inilah cabaran besar yang dihadapi penduduk di negara empat musim khususnya golongan rentan yang dihimpit kemiskinan serta berstatus pelarian.
Survival mereka menjadi sangat sukar kerana tiada tempat tinggal yang sempurna, tiada pakaian tebal, makanan dan juga alat pemanas untuk menghangatkan diri.
Kesempitan hidup memaksa mereka memilih antara membeli makanan atau bahan bakar, yang mana kedua-duanya sama penting untuk menyelamatkan nyawa daripada ancaman maut.
Cuaca sejuk melampau boleh memberi kesan besar kepada kesihatan meliputi gejala kulit menjadi kering dan mengelupas, hipotermia, ‘frostbite’ atau melecur, serangan jantung dan banyak lagi.
Bantuan Islamic Relief
Kempen Rayuan Musim Sejuk bukanlah projek asing bagi Islamic Relief. Saban tahun ia dijalankan bagi membantu meringankan penderitaan komuniti terjejas seperti pelarian dalam negara (IDPs), pelarian di negara-negara jiran dan anak-anak yatim di Timur Tengah, Eropah Timur serta Asia.
Justeru, bagi menyokong usaha ini, Islamic Relief Malaysia secara khusus melancarkan kempen Rayuan Musim Sejuk bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2023 dengan menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM200,000.
Dana kempen Rayuan Musim Sejuk anjuran Islamic Relief Malaysia akan disalurkan kepada penduduk terjejas di Lubnan, pelarian Syria dan Palestin yang tumpang berlindung di kawasan Baalbek El Hermel, Bekaa, Akkar dan Nabatiyeh, Lubnan.
Antara bentuk bantuan yang akan diberikan ialah pek makanan, minyak petrol, bahan bakar, selimut, tilam dan pakaian musim sejuk melalui agihan bantuan tunai, baucar pakaian dan barangan sumbangan.
Terdapat 3 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk kali ini iaitu “Stay Safe With Love” dengan nilai RM250, ‘Stay Calm With Love’ bernilai RM150 dan ‘Stay Warm With Love’ bernilai RM50.
Kriteria penerima bantuan pula merangkumi ibu tunggal, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), golongan berpendapatan rendah, ibu mengandung dan menyusu juga keluarga yang terjejas impak COVID-19, pelarian dalam negara (IDPs), isi rumah yang tiada pendapatan dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.
Lubnan perlu perhatian dan bantuan
Lubnan kini berdepan krisis kewangan yang semakin kritikal. Kemerosotan ekonomi mula melanda negara itu pada tahun 2019.
Mata wang Lubnan jatuh merudum di pasaran. Bank Dunia menyifatkan krisis kewangan di Lubnan adalah salah satu krisis paling buruk sejak abad ke-19.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan, empat daripada lima rakyat Lubnan kini hidup di bawah garis kemiskinan.
Kesannya, bekalan makanan asas seperti roti sering dicatu dan tidak mencukupi, manakala harganya pula telah melonjak tinggi. Kadar pengangguran di Lubnan dikatakan turut meningkat.
Bayangkan, jika kehidupan penduduk Lubnan sendiri sudah mencabar, bagaimana pula dengan nasib pelarian Syria dan Palestin yang berlindung di negara itu?
Jom sama-sama kita bantu mereka menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk bersama Islamic Relief Malaysia.
Tiada yang mustahil jika kita bersatu. Bersama kita mampu menyelamatkan nyawa mereka.
PAKEJ RAYUAN MUSIM SEJUK
Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.
Ucaplah Alhamdulillah Setiap Kali Dapat Jamah Makanan
“Kami sangat memerlukan bantuan minyak dan alat pemanas. Kalau nak harapkan kami beli sendiri, kami memang tak mampu kerana harganya sangat mahal." - Jassim, Pelarian Syria di Lubnan
Musim Sejuk, Mimpi Ngeri Buat Pelarian Syria
“Hidup kami sangat sukar. Makanan yang kami makan tidak bersih, tandas kotor dan kebanyakan tempat dipenuhi lalat. Kami sangat memerlukan bantuan dari sudut perubatan, makanan, pakaian serta air, sanitasi dan kebersihan." - Fatima Ahmed, Pelarian Syria
Derita Musim Sejuk
“Rasa terseksa hidup ketika musim sejuk. Minyak untuk bahan bakar sangat mahal. Manalah kami mampu nak beli. Sedih melihat anak-anak menggigil kesejukan. Tiada pelindung untuk menghangatkan mereka,” kata Mirvat Hosny Al Kadri yang tinggal di Lubnan.