Program Rakyat Perkasa Komuniti Setempat

Kuala Lumpur, 22 Sep 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Maybank Islamic Berhad (MIB) berganding bahu memperkasakan kesejahteraan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda menerusi Hari Tanggungjawab Korporat Maybank Islamic 2018.

 

Program yang melibatkan aktiviti gotong-royong, mengecat, penanaman pokok, kuliah kewangan dan masa depan anak muda sekaligus merapatkan ukhuwah antara Komuniti PPR Batu Muda, IRM, dan MIB ke arah kehidupan yang lebih kondusif.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, badan bukan kerajaan (NGO) adalah masa hadapan yang akan menjadi faktor kritikal dalam pembangunan sebuah komuniti dan negara termasuklah komuniti PPR.

 

“Antara kerajaan dan badan korporat yang wujud di Malaysia, NGO menjadi pengikat kepada penerima manfaat dan saling melengkapi dalam melaksanakan sesebuah projek,” jelasnya ketika berucap.

 

Zairulshahfuddin juga positif dengan kehadiran penerima manfaat yang menjadi asbab kepada IRM dan MIB untuk bersama-sama menggembleng tenaga untuk membangunkan komuniti.

 

Beliau juga merafakkan rasa syukur dengan kerjasama daripada MIB sejak tahun 2015 yang tidak pernah lelah untuk terus berbakti kepada masyarakat menerusi pelbagai projek bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di dalam dan juga luar negara.