Program #freemarket NAFAS (Nokwi Amek Free Amek Sajo) di Rantau Panjang.

Rantau Panjang, 29 Okt. 2016 – Program #freemarket NAFAS (Nokwi Amek Free Amek Sajo) anjuran ANSARA Kota Bharu, Bilik Gerakan Kecemasan Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Jawatankuasa Masjid telah diadakan di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, Kelantan.

Program ini bertujuan melatih anak muda terutama pelajar dan penuntut universiti untuk aktif dalam sukarelawan. Ia merupakan satu inisiatif yang dilakukan bagi mengumpulkan barangan sumbangan seperti pakaian, makanan, perabot, bantal, tilam, ubatan dan lain-lain untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Rantau Panjang sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Seramai 200 golongan asnaf termasuk 40 anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Insan Istimewa Kelantan (Insani) yang hadir pada hari itu memilih sendiri barangan yang mereka perlukan. Selain aktiviti itu, mereka juga menjalani pemeriksaan kesihatan dan derma darah oleh kakitangan Hospital Pasir Mas.

ANSARA KB dan IRM menyediakan pengangkutan untuk membawa asnaf dan barangan pulang ke rumah. Mereka juga turut menerima sumbangan makanan berupa beras 5kg, gula 1kg, bihun sebungkus, dan susu sejat 2 tin.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada ANSARA KB, Mahasiswa Pengerak, AJK Masjid, Hospital Pasir Mas, Klinik primer, MRSM Pasir Tumboh dan sukarelawan dari UMP.