Keadaan di Afghanistan Dilaporkan Stabil

AFGHANISTAN, 24 Ogos 2021 – Keadaan semasa di Kabul dan beberapa daerah lain dilaporkan stabil meskipun rakyat Afghanistan masih dalam keadaan takut dan risau.

Setakat ini, pihak pemerintah berjaya mengawal aktiviti jenayah dan bertindak segera untuk menahan sesiapa sahaja yang cuba mengambil kesempatan dalam tempoh fasa peralihan kuasa.

Pengurangan cukai bagi sumber minyak dan makanan yang dibawa daripada Pelabuhan Aqina menjadikan harga jualan minyak dan makanan di Kabul serta beberapa kawasan lain menjadi lebih murah.

Kebanyakan pasaraya dan pusat membeli-belah di Kabul sudah kembali beroperasi manakala perkhidmatan perbankan masih ditutup sepenuhnya.

Kementerian Pengajian Tinggi pula mengumumkan, sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Islamic Relief Afghanistan telah merangka pelan bantuan untuk mengedarkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas seperti bantuan makanan, kit kebersihan, tempat simpanan air, barangan bukan makanan (NFI) dan perlindungan.