Islamic Relief terus proaktif salur bantuan di Afghanistan

AFGHANISTAN, 15 April 2022 – Dianggarkan 97 peratus penduduk Afghanistan bakal dihimpit kemiskinan yang lebih teruk menjelang penghujung Jun ini, manakala menurut laporan Program Makanan Sedunia (WFP), 95 peratus penduduk di negara itu terpaksa berdepan ancaman kelaparan yang buruk ekoran kekurangan bekalan makanan.

Justeru, Islamic Relief terus proaktif membantu penduduk Afghanistan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Christian Aid dan Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC).

Sejak Ogos 2021, Islamic Relief telah mengedarkan 29,366 pek makanan kepada penduduk Afghanistan melibatkan kawasan seperti Kabul, Kapisa, Herat, Kandahar, Nangarhar, Balkh dan Bamyan.

Antara bantuan lain yang turut disalurkan ialah keperluan musim sejuk, barangan bukan makanan (NFI), kit kebersihan, alatan penyimpanan air dan kelengkapan pertanian.

Islamic Relief juga menjalankan projek di bawah sektor kehidupan mampan dengan menyediakan haiwan ternakan seperti kambing bagi membolehkan penduduk terjejas di Nangarhar menjana pendapatan mereka selepas kehilangan mata pencarian sebelum ini.

Selain itu, Islamic Relief turut menyediakan peruntukan bagi bantuan penjagaan kesihatan kepada 30,750 pesakit, mengedarkan 385 kit keperluan asas kepada bayi yang baru lahir, 1,397 kit pencegahan jangkitan Covid-19 dan memberikan rawatan sokongan berbentuk psikososial kepada 930 orang penduduk di negara bergolak ini.