IRM Terokai Kehidupan di Pulau Mabul

Pulau Mabul, Sabah merupakan destinasi pelancongan yang berjaya menambat hati para pelancong sama ada di dalam atau di luar negara. Antara keunikan pulau ini adalah air lautnya yang berwarna biru dan jernih. Sungguhpun demikian, tidak ramai yang tahu bahawa pulau ini mempunyai satu cerita tersembunyi di sebalik kecantikan kawasan di negeri bawah bayu ini. Islamic Relief Malaysia (IRM) berpeluang untuk menerokai kisah silam kehidupan di Pulau Mabul.

 

Pulau Mabul yang dilihat sebagai tempat peranginan sebenarnya merupakan tempat tinggal bagi penduduk yang tidak diiktiraf kerakyatannya di Malaysia. Pulau ini juga turut terkenal dengan kehidupan suku kaum Bajau Laut (Sea Gypsy). Ia mencakupi tiga jenis komuniti iaitu golongan pala’u, pelarian, dan orang tempatan yang berasal dari Sabah.

 

Kini, komuniti di Pulau Mabul mempunyai lebih 3,000 orang penduduk yang boleh dibahagikan kepada sebanyak 580 buah keluarga. Fasiliti di pulau ini juga terdiri daripada sebuah sekolah kerajaan, sebuah sekolah Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), dan Pusat Pembelajaran Alternatif (PPA), masjid dan surau. Masyarakat di Pulau Mabul juga menjalankan perniagaan di hadapan kediaman mereka dan bekalan kebanyakannya diambil dari Semporna.

 

Komuniti di Pulau Mabul pula rata-ratanya bergantung kepada ekonomi hasil laut. Pada kebiasaannya, hasil-hasil laut seperti ikan, ketam, udang, dan sotong yang ditangkap akan dijual kepada pelancong-pelancong yang bercuti di sini. Namun, pihak IRM mendapati bahawa penduduk di pulau ini menghadapi masalah ketiadaan sumber bekalan air bersih untuk kelangsungan hidup mereka. Bekalan air minum akan dibeli dari Semporna manakala air perigi pula merupakan sumber air untuk kegunaan harian seperti mandi dan membasuh pakaian.

 

Selain itu, sebagai pelarian, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk memudahkan proses yang berkait rapat dengan kerajaan. Ini termasuklah pendidikan kerana majoriti penduduk di Pulau Mabul tidak mempunyai kerakyatan untuk berdaftar dengan sekolah kerajaan. Bagaimanapun, atas kerjasama orang tempatan yang mengusahakan perniagaan pelancongan, PPA telah diwujudkan untuk memberi pendidikan asas 3M; menulis, mengira, dan membaca kepada anak-anak di komuniti ini.

 

Sejak tahun lalu, PPA telah mempunyai sebanyak 283 pelajar dari pelbagai peringkat umur bermula lima tahun sehingga 15 tahun. Semua penduduk di sini beragama Islam termasuklah anak-anak mereka. Oleh itu, pembelajaran asas fardu ain seperti solat, penghayatan surah Al-Fatihah, dan doa-doa harian turut diterapkan bagi mendalami agama Islam secara menyeluruh. Jadi, tidak hairanlah jika anda nampak anak-anak pelarian mampu membaca surah Al-Fatihah dan dapat menghayatinya dengan penuh keyakinan.

 

Dalam pada itu, khidmat kesihatan turut menjadi isu bagi komuniti di Pulau Mabul memandangkan tiada institusi kesihatan yang diwujudkan di kawasan berkenaan. Sesiapa yang jatuh sakit terpaksa dibawa ke klinik atau hospital yang terletak jauh di Semporna. Apa yang malang, cas atau bayaran yang dikenakan pula tidak sama malah jauh lebih mahal daripada rakyat Malaysia.

 

IRM turut berkesempatan meluangkan masa bersama kanak-kanak di Pulau Mabul dengan menjalankan beberapa aktiviti santai. Kebersihan sering dipandang enteng, namun IRM melihat ia sebagai satu kepentingan hidup. Oleh itu, IRM memberi pendedahan kepada teknik memberus gigi dengan betul supaya mereka lebih tahu cara-cara penjagaan mulut.

 

Walaupun asas fardu ain sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak di Pulau Mabul, IRM sebagai duta organisasi kemanusiaan turut menekankan aspek-aspek pembelajaran ilmu agama seperti asas fardu

ain supaya mereka lebih mendalami Islam secara menyeluruh. Antara aspek yang ditekankan ketika program berlangsung adalah penghayatan surah Al-Fatihah dan terjemahannya agar mereka dapat memahami konteks surah berkenaan. Selain itu, mereka juga turut mempelajari solat sunat dhuha sebagai persiapan mereka dalam mendekati agama Islam.

 

Aktiviti seterusnya melibatkan kreativiti kanak-kanak ini untuk mengasah bakat mereka melalui lukisan. Meskipun mereka tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk menghasilkan seni lukisan, sesetengah daripada kanak-kanak ini sebenarnya mempunyai bakat terpendam yang dapat dikomersialkan. Melalui pemerhatian IRM sendiri, kanak-kanak ini bukan sahaja pandai melukis malah mereka juga telah tahu asas 3M iaitu menulis, membaca, dan mengira.

 

Setelah penilaian dan lawatan dilakukan, IRM bercadang untuk memberi sumbangan kepada penduduk di Pulau Mabul melalui program Ramadan Relief. Bantuan akan diberikan dalam bentuk 100 pek makanan kepada 100 keluarga yang layak. Masjid dan surau pula akan dibekalkan dengan 70 naskah Al-Quran bagi memudahkan penduduk di situ untuk mengaji dan menjalankan apa-apa aktiviti keagamaan seperti tarannum atau tadarus Al-Quran.

 

Secara holistiknya, Pulau Mabul yang kita lihat sebagai destinasi pelancongan menarik sebenarnya mempunyai pelbagai cerita di sebaliknya dari segi sejarah komuniti dan penempatan kawasan itu sendiri. Status kerakyatan dan golongan pelarian akan semakin berleluasa sekiranya tiada pihak yang ingin tampil menyelesaikan isu berkenaan.