Hari graduasi dan anugerah kecemerlangan RISE tingkat motivasi para pelajar

KAJANG, 9 Disember 2021 – Sesi pembelajaran bagi tahun 2021 di pusat pendidikan alternatif Rohingya Intellectual Skills and Excellence (RISE) kelolaan Islamic Relief Malaysia telah melabuhkan tirainya, setelah selesai majlis graduasi dan penyampaian anugerah kecemerlangan pelajar 2021 hari ini.

Objektif program ini dijalankan tidak lain untuk meraikan kejayaan para pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri, serta membina keyakinan mereka dalam menonjolkan potensi diri melalui persembahan kreatif yang dipersembahkan.

Pengetua RISE, Bismi Syaifullah Ishak berkata, meskipun para pelajar dan barisan guru-guru berdepan cabaran besar dalam menjayakan proses pembelajaran sepanjang fasa pandemik dan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun ujian ini berjaya diharungi dengan baik berkat usaha dan semangat tinggi yang ditunjukkan semua pihak termasuk ahli keluarga para pelajar.

“Program yang dijalankan hari ini juga adalah rentetan daripada dua program yang telah dilaksanakan pada minggu lalu iaitu minggu akademik dan hari keusahawanan. Inisiatif ini dilakukan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari menerusi aktiviti-aktiviti yang disediakan selain memberi pendedahan serta ilmu pembelajaran di luar kebiasaan mereka,” kata Bismi.

Tambahnya lagi, walaupun para pelajar berdepan masalah kekurangan kemudahan digital dan jaringan internet sewaktu sesi pembelajaran atas talian, namun mereka tetap berjaya menghabiskan silibus pembelajaran dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan akhir tahun.

“Kami di Islamic Relief Malaysia sentiasa berdoa agar semua pelajar RISE berjaya melakar kejayaan sekaligus mengejar cita-cita mereka sama seperti kanak-kanak lain. Kami juga berharap semoga dengan ilmu dan pendidikan yang telah dibekalkan ini mampu menjadikan mereka insan yang berguna, dapat membantu keluarga serta mampu berbakti semula kepada tanah air mereka sendiri,” kata Zairulshahfuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.

Sementara itu, Chef Imelda, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir dalam majlis tersebut turut memberi kata-kata semangat kepada para pelajar agar terus belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita walau dalam apa jua bidang yang diminati.