Marah dan Karim pernah mempunyai rumah, pergi ke sekolah dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Mereka pernah membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia, dikelilingi kasih sayang ibu bapa dan adik-beradik.
Namun, kehidupan mereka berubah selepas perang berlaku di Gaza.
Hari ini, rumah mereka telah musnah. Ayah dan dua adik-beradik mereka telah terbunuh. Sekolah yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka juga tidak lagi seperti dahulu.
Di sebalik segala kehilangan, Marah dan Karim masih menyimpan harapan untuk masa depan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan puluhan ribu kanak-kanak Palestin menjadi yatim. Ramai yang kehilangan ibu atau bapa, tempat tinggal serta kehidupan yang pernah mereka kenali.
Melalui Program Tajaan Anak Yatim, Islamic Relief membantu ribuan anak yatim dan kanak-kanak yang terjejas untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang amat mencabar.
Marah dan Karim adalah sebahagian daripada mereka.
Kehidupan berubah selepas rumah dibom
Marah, 8 tahun, dan abangnya Karim, 13 tahun, pernah tinggal bersama keluarga mereka di Al-Zaytoun, Gaza dengan penuh bahagia dan aman.
Sebelum perang meletus, mereka mempunyai rumah yang selesa, pergi ke sekolah dengan gembira dan membesar dengan kasih sayang ibu dan bapa.
Namun, semuanya berubah apabila rumah mereka dibom.
Serangan itu mengorbankan bapa mereka dan dua orang adik-beradik. Marah, Karim dan ahli keluarga yang lain terselamat selepas dikeluarkan dari bawah runtuhan.
Mereka terpaksa melalui pengalaman yang amat menyakitkan iaitu kehilangan insan tersayang di hadapan mata sendiri.
Selepas kehilangan rumah, keluarga Marah terpaksa berpindah berkali-kali untuk mencari tempat yang lebih selamat. Kini, mereka tinggal di sebuah khemah di kawasan Al-Rimal.
Walaupun kehidupan mereka telah berubah sepenuhnya, Marah masih mengingati saat-saat bahagia bersama keluarganya.
“Dulu saya gembira di sekolah dan hidup saya juga bahagia. Tetapi apabila perang bermula, kami tidak lagi gembira dan ayah saya terbunuh. Ayah selalu membawakan kami mainan. Apa sahaja yang saya minta, ayah akan berikan kepada kami,” kata Marah.
Air bersih sukar diperoleh
Bagi keluarga Marah, kehidupan di dalam khemah bukanlah sesuatu yang mudah.
Antara cabaran terbesar yang mereka hadapi ialah kekurangan bekalan air. Air yang ada perlu dijimatkan supaya mencukupi untuk memasak.
Ada kalanya, mereka tidak dapat menggunakan air untuk membersihkan diri kerana keperluan memasak perlu diutamakan. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mengalami ruam kulit yang menyakitkan.
Ibu Marah menggambarkan betapa sukarnya kehidupan mereka sekarang.
“Kehidupan seperti biasa sudah tidak ada. Keperluan asas di Gaza semuanya telah hilang. Kami tidak mendapat makanan yang sepatutnya, air yang bersih, pakaian yang sesuai atau tidur yang mencukupi. Kehidupan kami dipenuhi keletihan,” katanya.
Kemusnahan di Gaza bukan sahaja meragut tempat tinggal. Ia turut mengubah kehidupan harian berjuta-juta penduduk yang terjejas oleh konflik.
Bagi keluarga Marah, kehidupan yang dahulu dipenuhi rutin sekolah, pekerjaan dan aktiviti harian kini digantikan dengan usaha untuk mendapatkan keperluan asas.
“Tiada sekolah untuk anak-anak kami, tiada tadika, tiada universiti untuk para pelajar dan tiada pekerjaan untuk anak-anak kami. Apa yang tinggal sekarang hanyalah kemusnahan. Ke mana sahaja kami pergi, kami melihat kemusnahan.”
Kesihatan Marah dan Karim semakin terjejas
Pada usia 13 tahun, Karim kini perlu membantu keluarganya mencari kayu api untuk memasak.
Dengan penyakit asma yang dihidapi Karim, kekurangan ubat-ubatan dan pendedahan kepada asap kayu api menyebabkan keadaan asmanya semakin teruk.
Bagi kebanyakan keluarga di Gaza, kayu api menjadi antara pilihan yang ada untuk memasak dalam keadaan serba kekurangan.
Marah juga terus berdepan cabaran kesihatan.
Marah mempunyai masalah pergerakan pada tangan dan kaki kirinya. Dia menerima rawatan di Hospital Hamad dan menjalani fisioterapi secara berkala untuk membantu pergerakannya.
Ibunya tetap berusaha membawanya mendapat rawatan dan menjalani fisioterapi walaupun perlu berjalan jauh.
Walau bagaimanapun, pusat perkhidmatan tersebut tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk memberikan rawatan yang diperlukan oleh Marah.
Selepas menjalani fisioterapi, Marah sering pulang dalam keadaan menangis kerana terlalu letih.
Dia tidak lagi mempunyai tenaga untuk bermain.
Ketika kanak-kanak lain bermain di sekelilingnya, Marah hanya mampu duduk di dalam khemah.

Sekolah terhenti, tetapi impian masih membara
Sebelum perang, sekolah merupakan sebahagian penting daripada kehidupan Marah dan Karim.
Kini, banyak sekolah telah musnah dan sistem pendidikan di Gaza turut terjejas. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran seperti dahulu.
Namun, kehilangan peluang untuk bersekolah tidak memadamkan impian mereka.
Marah masih bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Karim pula ingin menjadi seorang guru Matematik.
Matematik merupakan subjek yang sangat diminatinya.
“Saya suka Matematik. Saya belajar bersungguh-sungguh dan selalu menjawab soalan di dalam kelas,” kata Karim.
Walaupun mereka telah kehilangan rumah, insan tersayang dan peluang untuk bersekolah seperti biasa, Marah dan Karim masih mempunyai impian yang ingin dicapai.
Lebih 7,000 kanak-kanak dilaporkan masih menunggu untuk menerima tajaan.
Sokongan daripada para penderma dapat membantu memenuhi keperluan asas mereka serta memberikan mereka peluang untuk meneruskan kehidupan dan membina masa depan.
Walaupun begitu banyak perkara telah hilang daripada kehidupan Marah dan Karim, impian dan harapan mereka masih ada.
Jadilah sebahagian daripada harapan mereka. Hulurkan sumbangan hari ini dan bantu anak-anak yatim Gaza meneruskan kehidupan serta mengejar impian mereka melalui projek MyYateem Sponsorship.

