Kehilangan seorang ibu atau bapa bukan sahaja meninggalkan kesan emosi kepada seorang anak. Dalam kebanyakan keluarga, pemergian pencari nafkah utama boleh membawa kepada kesan yang lebih besar terhadap kehidupan seharian seluruh ahli keluarga.
Anak-anak mungkin berdepan dengan kesukaran mendapatkan makanan yang mencukupi, meneruskan persekolahan, menerima rawatan kesihatan atau tinggal dalam keadaan yang lebih selamat dan terjamin.
Bagi keluarga yang hidup dalam kemiskinan, konflik atau krisis berpanjangan, kehilangan seorang penjaga boleh menyebabkan cabaran yang sedia ada menjadi semakin berat.
Di sinilah penajaan seorang anak yatim memainkan peranan yang sangat penting.
Melalui MyYateem Sponsorship, Islamic Relief Malaysia berusaha memberikan sokongan kepada anak-anak yatim di negara-negara yang memerlukan. Namun, impak sebuah tajaan tidak berhenti pada seorang anak sahaja. Apabila keperluan asas seorang anak dapat dibantu, beban yang dipikul oleh ibu, penjaga dan seluruh keluarga turut dapat diringankan.
Apa itu MyYateem Sponsorship?
MyYateem Sponsorship ialah program penajaan anak yatim yang membantu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan anak-anak yang kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka.
Pada tahun ini, Islamic Relief Malaysia menyasarkan untuk memastikan 5,000 anak yatim di lebih 10 negara menerima tajaan dan sokongan berterusan termasuk anak-anak yatim di Palestin, Jordan (pelarian Palestin), Somalia dan Sudan.
Ketika ini, terdapat seramai 127 anak yatim sedang menerima tajaan melalui program ini di 18 negara, termasuk Palestin, Afghanistan, Bangladesh, Bosnia, Chechnya, Ethiopia, Indonesia, Iraq, Jordan, Kenya, Mali, Niger, Pakistan, Somalia, Sri Lanka, Sudan, Syria dan Yaman.
Sokongan yang diterima merangkumi beberapa aspek penting dalam kehidupan anak-anak, termasuk:
- Pemeriksaan kesihatan secara berkala
- Pendidikan dan keperluan persekolahan
- Keperluan asas
- Sokongan tempat tinggal
- Makanan dan keperluan pemakanan
Bergantung kepada keperluan dan keadaan setempat, bantuan ini juga boleh membantu meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan vaksinasi, melengkapkan keperluan pendidikan serta memberikan sokongan emosi kepada kanak-kanak yang mengalami trauma.
Bagi sesetengah anak, sokongan turut membuka peluang untuk memperoleh kemahiran praktikal melalui latihan vokasional, termasuk dalam bidang teknologi maklumat dan bahasa, agar mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk membina masa depan.
Mengapa tajaan anak yatim penting?
Seorang anak bukan sahaja memerlukan bantuan untuk meneruskan hidup, tetapi mereka juga memerlukan peluang untuk belajar, mendapatkan rawatan apabila sakit dan membesar dalam persekitaran yang memberi rasa selamat.
Bagi seorang ibu atau penjaga yang kehilangan pasangan atau sumber pendapatan, memenuhi semua keperluan ini seorang diri boleh menjadi satu perjuangan yang sangat berat.
Sebab itulah seorang anak yang ditaja bukan hanya mendapat bantuan dan manfaat untuk dirinya bahkan boleh membantu mewujudkan kestabilan untuk seluruh keluarga.
Apabila kos pendidikan anak dapat diringankan, keluarga mungkin dapat menggunakan sumber yang ada untuk membeli makanan. Apabila seorang anak mendapat sokongan untuk rawatan atau keperluan asas, tekanan kewangan penjaga juga dapat dikurangkan. Apabila anak-anak dapat terus bersekolah, keluarga mempunyai lebih banyak harapan untuk masa depan.
Kisah Osama, anak yatim di Yaman
Kesan bantuan tajaan dapat dilihat melalui kisah Osama, seorang anak yatim yang tinggal bersama keluarganya di Hodeida, Yaman.
Selepas pemergian bapa mereka, kehidupan Osama dan keluarga berubah sepenuhnya. Ibunya, Elham, kini perlu menjaga enam orang anaknya seorang diri, termasuk Osama serta dua lagi anak yang mempunyai masalah intelektual dan memerlukan perhatian serta rawatan berterusan.
Tanpa sumber pendapatan tetap, keluarga ini banyak bergantung kepada anak keempat, Ahmed, yang bekerja sambilan di pasar ikan. Namun, pendapatan kecil yang diperolehnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh ahli keluarga.
Hampir setiap hari, mereka hanya dapat menjamah roti dan teh sahaja. Itu pun, tidak semua ahli keluarga dapat merasainya.
Dalam keadaan serba kekurangan, mendapatkan air yang mencukupi juga menjadi satu cabaran. Keluarga Osama tinggal di sebuah rumah sewa yang sangat kecil dan berdepan dengan akses yang terhad kepada keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air.
Beban kesihatan yang tidak mampu ditanggung sendiri
Cabaran keluarga Osama menjadi lebih berat kerana Osama, abang dan kakaknya memerlukan rawatan serta ubat secara berkala.
Bagi Elham, mencari wang untuk makanan sahaja sudah menjadi perjuangan setiap hari. Ditambah pula kos ubat, rawatan dan keperluan anak-anak menjadikan beban kewangan dan emosi yang ditanggungnya semakin besar.
Sebagai seorang ibu yang menjaga anak-anak tanpa makanan dan keperluan mencukupi, Elham berdepan dengan cabaran yang bukan mudah.
Sebelum menerima bantuan, pendidikan anak-anak juga terpinggir. Elham tidak mampu menyediakan semua keperluan sekolah atau menanggung perbelanjaan berkaitan pendidikan.
Dalam situasi seperti ini, kemiskinan boleh memberi kesan kepada hampir setiap aspek kehidupan seorang anak.
Anak yang tidak cukup makan mungkin sukar memberikan tumpuan dalam pembelajaran. Anak yang memerlukan rawatan pula berdepan dengan cabaran tambahan untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Anak-anak yang membesar dalam keadaan serba kekurangan juga boleh kehilangan rasa selamat dan harapan terhadap masa depan.
Program tajaan membawa perubahan
Melalui MyYateem Sponsorship Islamic Relief Malaysia, Osama dan keluarganya mula menerima sokongan yang membantu mereka memenuhi sebahagian daripada keperluan asas.
Bantuan kewangan yang diterima melalui program tajaan membantu keluarga Osama menampung perbelanjaan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan pendidikan.
Semasa Ramadan, mereka turut menerima pek makanan daripada Islamic Relief, manakala bantuan daging korban sempena Aidiladha memberikan keluarga Osama peluang untuk menikmati makanan yang lebih berkhasiat.
Bagi sesetengah keluarga, ini mungkin kelihatan seperti perkara biasa.
Tetapi bagi keluarga Osama yang telah lama hidup dalam kekurangan, dapat menikmati makanan yang mencukupi atau makan daging selepas bertahun-tahun boleh membawa makna yang sangat besar.
Yang lebih penting, bantuan tajaan memberikan Osama dan keluarganya sesuatu yang sukar diperoleh sebelum ini: sedikit kestabilan dan jaminan.
Mereka kini mengetahui bahawa mereka tidak perlu menghadapi setiap cabaran sendirian.
Bagi Osama, tajaan ini membantunya untuk terus menerima penjagaan dan pendidikan. Bagi Elham, ia memberikan sedikit kekuatan dan harapan untuk terus bertahan.
Memberi peluang membina masa depan
Bantuan segera adalah penting untuk membantu keluarga seperti Osama menghadapi kesukaran hari ini. Tetapi bagi anak-anak, sokongan yang konsisten juga boleh membantu mereka membina masa depan yang lebih baik.
Melalui pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan kemahiran, anak-anak dapat memperoleh peluang yang mungkin sukar dicapai tanpa sokongan.
Bagi kanak-kanak yang hidup dalam kawasan yang terjejas akibat konflik, kemiskinan atau krisis kemanusiaan, peluang untuk terus belajar boleh menjadi satu langkah penting untuk keluar daripada kitaran kesusahan.
Sokongan emosi juga tidak boleh dipandang ringan.
Ramai kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa turut mengalami trauma, kesedihan dan ketidakpastian. Oleh itu, kesejahteraan seorang anak perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar memastikan mereka mempunyai makanan, tetapi juga menjaga kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkembangan emosi mereka.
Sebuah tajaan, segunung harapan
Kisah Osama hanyalah satu daripada banyak kisah anak yatim yang berdepan dengan cabaran hidup selepas kehilangan ibu atau bapa.
Ada yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pendidikan. Ada yang memerlukan akses kepada pemeriksaan kesihatan dan rawatan. Ada yang tinggal dalam keluarga yang bergelut untuk menyediakan makanan yang mencukupi.
Namun, setiap anak berhak mendapat peluang untuk membesar dengan lebih sihat, selamat dan bermaruah.
Melalui MyYateem Sponsorship, tajaan yang diberikan membantu memenuhi keperluan anak-anak sambil memberikan kesan yang lebih luas kepada keluarga mereka.
Jika anda ingin menjadi sebahagian daripada perubahan dalam kehidupan anak-anak yatim dan keluarga mereka, sertailah MyYateem Sponsorship bersama Islamic Relief Malaysia. Tajaan anda boleh membantu memberikan sokongan penting dalam aspek pendidikan, kesihatan, keperluan asas dan kesejahteraan, sambil membuka ruang untuk anak-anak ini membina masa depan dengan lebih bermaruah dan penuh harapan.

