IRM Fokus Lahirkan Usahawan Baharu.

Bangi, 31 Mac 2018 – Seramai 15 usahawan baharu bakal dilahirkan melalui program Islamic Relief Malaysia (IRM) iaitu Dare to Growth: Road to Global.

 

Menurut Pengarah Bahagian Partner Care IRM, Kamarul Halim Sakrani, program itu bertujuan untuk mendidik usahawan-usahawan baharu dalam mengembangkan produk mereka ke serantau negara termasuklah Asia Tenggara.

 

“Kita juga mahu melahirkan usahawan-usahawan dari program IRM untuk menghasilkan produk yang berkualiti sebagai bekalan mereka untuk masa hadapan dan ia juga perlu diwarisi,” katanya ketika berucap.

 

Seiring dengan tanggungjawab IRM selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa, beliau juga menjelaskan bahawa usahawan-usahawan tersebut akan menjalani pelbagai latihan yang meliputi ilmu perniagaan sebagai persediaan mereka dalam pembangunan usahawan global yang berdaya maju.

 

Selain itu, IRM akan menyediakan kemudahan khidmat nasihat bagi mengukuhkan serta meningkatkan keupayaan usahawan bagi memenuhi keperluan piawaian semasa.

 

Untuk rekod, usahawan yang terpilih menyertai program ini merupakan penerima manfaat IRM dan juga asnaf yang pernah diberi bantuan oleh IRM dari segi sektor kehidupan mampan untuk berniaga sekaligus meningkatkan pendapatan keluarga.

 

Penerima manfaat, Dery Suwanda Yondiswan berkata, “Islamic Relief telah banyak membantu dari segi persediaan dan personaliti dan kini saya mempunyai tiga cawangan perniagaan saya di sekitar ibu kota.”

 

Suwanda yang juga merupakan usahawan jagung berharap agar program yang disediakan IRM akan dapat menarik lebih ramai golongan memerlukan dalam meningkatkan taraf hidup mereka.