Hari AIDS Sedunia: Islamic Relief bekerjasama dengan UNAIDS

Menjelang sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember kelak, CEO Islamic Relief Worldwide telah bertemu dengan timbalan pengarah UNAIDS, Dr Luiz Loures.

Menerusi skop perbincangan yang meluas, Naser dan Dr. Loures telah berkongsi buah fikiran tentang perangkuman sosial berkenaan HIV. Selain itu, mereka juga mempertimbangkan peluang bagi kedua-dua organisasi bekerjasama di masa hadapan dengan fokus terhadap keadilan gender dan pencegahan HIV merentasi bidang-bidang pekerjaan Islamic Relief yang berbagai-bagai.

Komitmen dalam memastikan agar program-program yang bakal dilaksanakan oleh keluarga global Islamic Relief mengintegrasikan inklusiviti terhadap HIV juga dinyatakan.

Naser berkata: “Pencegahan HIV telah banyak berkembang beberapa tahun kebelakangan ini. Liputan ubat-ubatan antiretroviral telah meningkat, dan ini membolehkan sebilangan besar penghidap HIV boleh menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.

“Walau bagaimanapun, di sebalik pencapaian hebat ini, masih terdapat banyak lagi cabaran yang perlu diatasi dan selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa, kami menyeru agar program-program yang mengiktiraf pencegahan HIV yang lebih menyeluruh untuk memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan.

“Saya menanti-nantikan peluang bekerjasama dengan UNAIDS, dan akan menggunakan suara dan kedudukan saya untuk memastikan HIV sentiasa menjadi isu tidak terpadam dari mana-mana aktiviti dan bantuan kemanusiaan”

Usahasama Islamic Relief bersama dengan UNAIDS telah bermula sejak 2007 sebagai inisiatif Islamic Relief yang telah melibatkan pelbagai NGO Muslim, institusi keagamaan, badan masyarakat awam dan akademik dalam menangani isu HIV.