200 Keluarga Terjejas Banjir di Sabah Terima Bantuan Pek Makanan dan Kit Kesihatan

Sabah, 14 Jun 2021 – Seramai 200 keluarga terjejas banjir di Kampung Bekalau, Takuli, Kebatu di Beaufort dan kampung Batu-Batu, Tenom telah menerima sumbangan pek makanan, air mineral dan kit kesihatan termasuk pelitup muka serta pencuci tangan.

Banjir yang berlaku ini berpunca daripada kesan pelepasan air dari Empangan Hidro Pangi dan taburan hujan yang berterusan.

Bantuan diedarkan secara berkala selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Malaysian Relief Agency (MRA) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Bencana yang melanda ini benar-benar memberi ujian berganda kepada kami. Kami bukan sahaja berdepan masalah banjir, malahan sistem bekalan air paip juga terputus. Saya pun tidak tahu bagaimana kami hendak mencuci rumah selepas ini.

“Mujur ada Islamic Relief Malaysia datang menghantar bekalan air mineral. Dapatlah kami anak-beranak menyimpan bekalan air untuk diminum,” kata salah seorang penerima manfaat.

Meskipun mereka semua sudah mula kembali ke rumah masing-masing, namun kerja-kerja pembersihan masih tergendala.

“Kebanyakan penduduk terjejas yang kami temui melahirkan keluh-kesah kerana masih tidak dapat membersihkan rumah mereka dan terpaksa menunggu hujan turun untuk menadah air,” kata Fathi Ridhwan Saidin, Pegawai Kanan, Bahagian Program Islamic Relief Malaysia.

Didoakan semoga mereka semua terus tabah menghadapi ujian ini dan dilindungi daripada wabak Covid-19 yang masih menular di negara kita.