150 Keluarga Terjejas di Sabah Terima Bantuan Pek Makanan COVID-19

Sandakan, 13 Julai 2021 – Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan 150 pek makanan, susu formula bayi dan kit kesihatan seperti pelitup muka serta pencuci tangan kepada 150 keluarga penduduk bukan warganegara atau ‘stateless’ di kawasan Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP), Pulau Jampiras, Sandakan, Sabah dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Inisiatif ini dijalankan untuk meringankan beban penduduk terjejas di bawah program bantuan COVID-19.

“Bantuan COVID -19 yang diberikan Islamic Relief Malaysia berbentuk menyeluruh tanpa mengira apa jua bentuk perbezaan.

“Kali ini, kami memilih Pulau Jampiras kerana kami dimaklumkan oleh MKN bahawa sejak pendemik melanda negara, penduduk di sini tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan. Ia mungkin disebabkan kesukaran untuk masuk ke kawasan ini dan status mereka yang bukan warganegara,” kata Ramlah Halim, Pegawai Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Perjalanan untuk sampai ke pulau ini mengambil masa kira-kira 40 minit daripada jeti bandar Sandakan dengan menaiki bot.

Kebanyakan penduduk Pulau Jampiras bekerja sebagai nelayan. Sejak pandemik dan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendapatan mereka mulai merosot berikutan ketiadaan peraih yang datang membeli tangkapan hasil laut mereka.

“Terima kasih Islamic Relief Malaysia dan MKN kerana datang membantu kami di sini. Kami rasa sangat terharu kerana masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan serta prihatin akan nasib kami,” kata salah seorang penerima manfaat.

Didoakan semoga kita semua terus tabah menghadapi ujian serta menjadikan apa yang berlaku sebagai platform untuk kita lebih cakna akan nasib mereka yang memerlukan supaya tiada lagi komuniti yang akan merasa terpinggir.