Bulan akademik RISE ketengahkan gaya pembelajaran VAK

KAJANG, 1 Oktober – Inisiatif pusat pendidikan alternatif Rohingya Intellectual Skills and Excellence (RISE) kelolaan Islamic Relief Malaysia melancarkan program bulan akademik bertujuan untuk menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada para pelajar.

Program itu menyasarkan objektif bagi menyediakan para pelajar dengan cara pembelajaran yang berbeza sehingga mereka mampu mengaplikasi ilmu pengetahuan ke dalam aktiviti sebagai salah satu proses pembelajaran mereka.

Pengetua RISE, Bismi Syaifullah Ishak berkata, kaedah pembelajaran Visual, Auditori, dan Kinestetik (VAK) mengetengahkan tiga aspek yang merangkumi penglihatan, pendengaran, dan pergerakan bagi menyokong secara optimum keperluan gaya belajar yang berbeza dalam kalangan pelajar.

“Saya yakin dan percaya barisan guru telah berhempas pulas untuk menjadikan platform bulan akademik ini bermanfaat kepada pelajar dalam menonjolkan potensi sebenar mereka, meningkatkan pengalaman pembelajaran, dan menarik minat mereka terhadap proses pembelajaran,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Akademik RISE, dekat sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Programme Specialist, Bahagian Program Islamic Relief Malaysia, Noor Halimahton Sa’adiah sebagai tetamu jemputan.

Halimahton dalam ucapannya berkata, memahami akan situasi negara yang berdepan dengan isu Covid-19 yang kian meruncing, beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada barisan guru atas jasa bakti mereka mendidik anak-anak RISE meskipun terdapat pelbagai kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Ilmu pengetahuan adalah prasyarat yang mampu mengubah nasib diri, keluarga, dan komuniti disamping ia turut mampu memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Bulan Akademik RISE, Muhammad Syazrul Shazwan berkata, guru akan bertindak sebagai pembimbing dan pemerhati manakala pelajar akan bertindak proaktif menyelesaikan segala tugasan yang diberikan sejajar pendekatan pendidikan kontemporari dalam fasa menuju era globalisasi saranan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tambahnya lagi, sebelum ini tenaga pengajar menggunakan cara pembelajaran konservatif, namun kini mereka menekankan dua cara pembelajaran baharu iaitu pembelajaran dua hala berasaskan aktiviti dan program.

“Pelajar akan dibimbing untuk mengaplikasi segala input yang difahami di dalam kelas dan mempraktikkannya ke dalam aktiviti. Misalnya, aktiviti jualan dan ‘puzzle’ (susun suai gambar) bagi subjek Matematik dan pertandingan memasak ‘Master Chef’ bagi subjek bahasa Inggeris.

“Saya berharap para pelajar mempunyai matlamat yang jelas hadir ke sekolah bagi memanfaatkan peluang yang telah diberikan oleh RISE dan Islamic Relief.

“Mereka sangat menghormati kami (para guru) dan mereka mempunyai semangat juang dan keinginan belajar yang sangat tinggi. Saya yakin bahawa mereka juga mampu mempunyai masa depan yang cerah,” beliau berkata mengulas isu sentimen Rohingya.

Bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai bahasa pertuturan sepanjang berlangsungnya majlis tersebut bagi memperkasa objektif bulan akademik RISE pada tahun ini.

Majlis yang diacarakan sendiri oleh pelajar RISE itu dimulai dengan paparan video montaj, ucapan daripada pengetua dan tetamu jemputan, persembahan pelajar, sesi bergambar, dan diakhiri dengan penerangan ringkas oleh guru kepada pelajar mengenai minggu pertama bulan akademik yang bakal dijalankan minggu hadapan.