Zakat & Fidyah

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA
Sucikan Harta, Suburkan Kebaikan

ZAKAT & FIDYAH

Sedarkah, harta yang kita miliki bukan hanya untuk kita semata-mata, tetapi dalam setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, ada hak untuk mereka yang memerlukan; fakir, miskin, anak yatim dan asnaf lain yang menanti huluran tangan kita.

Zakat adalah kewajipan yang diperintahkan Allah SWT, sebagai jalan untuk membersihkan harta dan hati daripada sifat bakhil dan cinta dunia. Lebih daripada itu, zakat adalah lambang kasih sayang dan keprihatinan, yang menghubungkan hati antara yang memberi dan yang menerima.

Zakat dari segi bahasa bererti bersih, suci, subur, berkat dan berkembang.

Pengertian bersih dan suci dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Hikmah Disyariatkan Zakat

Zakat merupakan rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

Di Islamic Relief Malaysia, kami memastikan kutipan zakat anda disalurkan secara telus dan berkesan melalui pelbagai program bantuan kemanusiaan dan pembangunan sama ada dalam negara mahupun di peringkat global.

Setiap ringgit zakat anda membawa harapan besar dalam membantu keluarga yang memerlukan menjana pendapatan, memastikan anak-anak tidak tercicir daripada pendidikan, dan meringankan beban mereka yang diuji dengan kesakitan atau musibah.

Melalui zakat, kita bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sebagai Muslim, tetapi juga menjadi sebahagian daripada solusi untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

Dalam harta kita, ada hak insan lain.. tunaikan zakat hari ini.

Fidyah

Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya.

Kadang-kadang kita terhalang daripada menunaikan ibadah puasa disebabkan faktor kesihatan, keuzuran atau sebab lain yang dibenarkan syarak.

Fidyah adalah peluang untuk kita menggantikan kewajipan tersebut dengan membantu mereka yang memerlukan. Ia bukan hanya sekadar bayaran, tetapi bukti kasih sayang dan rasa tanggungjawab kita kepada Allah dan kepada insan lain.

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya.

Bayangkan, fidyah yang anda tunaikan mampu menjadi makanan di atas meja keluarga miskin, membantu golongan tua, ibu tunggal atau anak yatim mendapat keperluan asas. Ia adalah satu amalan yang nampak kecil tetapi impaknya besar dalam kehidupan mereka yang sedang berjuang setiap hari.

Di Islamic Relief Malaysia, fidyah yang anda salurkan akan diagihkan dengan penuh amanah dan telus, memastikan ia benar-benar sampai kepada golongan yang layak dan memerlukan.

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat.

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email