STEM Pupuk Minat Ilmu Sains, Matematik & Kejuruteraan Kepada Orang Asli

Dengkil, 30 Okt. – Program Pemindahan Ilmu kepada Masyarakat Orang Asli menerusi aktiviti STEM yang dilaksanakan pada hari ini telah memeriahkan suasana SK Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor dengan penyertaan seramai 157 pelajar Sk Bukit Tampoi dan komuniti Orang Asli.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia dan SK Bukit Tampoi ini bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains, matematik dan kejuruteraan seterusnya menggalakkan para pelajar untuk mendalami ilmu yang dipelajari dalam sesi pembelajaran di sekolah.

Dr. Mohammad Yazdi Harmin selaku Ketua Program berkata aktiviti ini juga dijalankan untuk mendekati komuniti Orang Asli dan melihat sendiri pertumbuhan kanak-kanak di SK Bukit Tampoi terutama dari segi pembelajaran mereka.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan bersama pelajar-pelajar SK Bukit Tampoi dan komuniti Orang Asli ialah aktiviti water rocket, giant bubble dan Junior STEM chef, hidroponik serta free market.

Fa’azurah Kadir, Pegawai Kanan Bahagian Program Domestik Islamic Relief Malaysia turut berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk meningkatkan semangat anak-anak untuk pergi ke sekolah seterusnya dapat meningkatkan akademik mereka.

Islamic Relief Malaysia berharap agar kerjasama dan program-program yang dijalankan ini dapat diteruskan bagi memanfaatkan komuniti yang terlibat.