Pengalaman misi kemanusiaan di Bangladesh mengubah persepsi Imelda Harris

Siapa Je Nak Ke Bangladesh?

“Ini antara respon yang saya terima ketika kali pertama saya beritahu ahli keluarga yang saya akan mengikuti misi kemanusiaan ke Bangladesh. Ha! Bangladesh? Seriuslah? Ok ke? Ada apa nak ke sana?” cerita Imelda Harris, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

Menurutnya lagi, kalau bukan kerana misi kemanusiaan ke Bangladesh bersama Islamic Relief pada tahun 2023, dia juga pasti masih skeptikal dengan negara Tanah Bengal itu.

Bangladesh semestinya bukan pilihan utama masyarakat kita untuk bercuti. Jalan raya sesak dengan kenderaan dan haiwan ternakan yang berada di satu laluan yang sama menjadikan perjalanan ke satu-satu destinasi menjadi lama dan mencabar.

“Kami terpaksa menempuh perjalanan darat hampir 10 jam dari Dhaka ke Rangpur akibat hujan lebat dan kesesakan lalu lintas, sedangkan dalam keadaan biasa perjalanan hanya mengambil masa sekitar 5–6 jam sahaja. Bagaimanapun, perjalanan panjang itu sangat berbaloi bila kami tiba di lokasi projek yang telah mengubah nasib banyak keluarga,” luah Imelda.

Konsep Beri Kail, Bukan Ikan Semata-mata

Di Bangladesh, lebih 21 peratus penduduk hidup dengan pendapatan harian kurang daripada RM14 sehari. Keadaan ini semakin parah akibat tekanan inflasi dan kesan ekonomi global.

Islamic Relief mula menjalankan kerja-kerja kamanusiaan di Bangladesh pada tahun 1991, sejak negara itu dilanda bencana taufan yang dahsyat. Bermula dengan bantuan kecemasan, projek kebajikan yang dilaksanakan berkembang ke sektor pendidikan, kesihatan, air bersih dan penjanaan ekonomi serta memperkasa komuniti.

“Saya sangat terinspirasi dengan semangat dan kegigihan komuniti wanita di Rangpur. Dahulu, mereka hanya bergantung hidup dengan bantuan kemanusiaan ketika bencana melanda. Kini, mereka berjaya mewujudkan komuniti yang berdaya saing dengan penjanaan sumber ekonomi melalui hasil jualan kedai runcit dan ternakan,” kata Imelda.

Tambahnya lagi, projek Sustainable Economic Empowerment and Development (SEED), telah membawa perubahan besar kepada komuniti itu. Berbekalkan sokongan modal wang tunai RM6,500 untuk 30 peserta terlibat di peringkat awal projek, kini mereka mempunyai lebih daripada tiga sumber pendapatan.

Terbukti, usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Sikap mereka yang tidak mensia-siakan peluang dan sentiasa bersedia untuk berubah menunjukkan ciri-ciri orang berjaya. Jadi, tidak hairanlah manfaat projek SEED telah berkembang luas ke kampung-kampung lain.

“Setiap minggu, kami akan berkumpul dan berkongsi perkembangan usaha ternakan dan jualan yang kami jalankan. Kami juga mewujudkan tabungan komuniti bernilai lebih RM5,000 untuk kami berikan pinjaman tanpa faedah kepada wanita lain dalam komuniti kami yang ingin memulakan usaha menjana ekonomi keluarga.

“Selain itu, kami juga mengumpul beras sekiranya ada yang terdesak memerlukannya. Dari secupak beras, kini sudah menjadi lebih 500 kilogram stok terkumpul,” terang Rupia Beghum, salah seorang penerima bantuan projek SEED.

Projek SEED anjuran Islamic Relief ini dilaksanakan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui tabung MySedekah. Dengan tagline “Kemanusiaan Tanpa Sempadan”, MySedekah menjadi platform yang menampung kos pelbagai projek bantuan merangkumi bekalan makanan, rawatan kesihatan, pembangunan ekonomi jangka panjang serta dana kesiapsiagaan krisis.

“Selain sokongan modal, kami turut diberi pendedahan tentang pengurusan kewangan termasuk inisiatif pinjaman tanpa faedah serta ilmu penternakan. Kesedaran mengenai pencegahan perkahwinan awal usia dalam kalangan wanita dan kepentingan pendidikan kanak‑kanak juga menjadi antara fokus utama yang dititikberatkan.

“Kami rasa sangat bersyukur kerana berjaya mencegah dua kes perkahwinan awal usia dan menyelamatkan wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Projek ini bukan sahaja membantu kami menjana pendapatan, tetapi memberi sinar baharu kepada wanita yang hampir putus harapan,” jelas Rupia Beghum.

Tiada Alasan Untuk Bermalas-Malasan

“Saya selalu percaya, hanya dengan ilmu kita dapat membina masa depan lebih baik. Ketika saya terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan, saya rasa dunia saya seolah terhenti,” luah Salina Akhter salah seorang peserta projek SEED yang menjana pendapatan dengan menternak itik, kambing dan lembu.

Salina kehilangan kedua belah tangan dalam insiden kemalangan itu. Dia hampir depresi akibat kejadian itu.

“Islamic Relief hadir membawa harapan baharu. Saya nekad menyertai projek SEED untuk membuktikan bahawa saya boleh berdikari, mempunyai pendapatan sendiri dan tidak mahu bergantung kepada ibu bapa saya sahaja kerana mereka sudah tua,” kata Salina.

Salina antara peserta yang berjaya dan menjadi contoh kepada komuniti setempat. Dia kini dapat menjana pendapatan lebih RM160 sebulan. Cukup untuk menampung keperluan diri dan ibu bapanya.

“Sehingga kini, kisah Salina menjadi antara pendorong untuk saya terus terlibat dalam kerja‑kerja kemanusiaan. Di luar sana, masih ramai yang memerlukan sokongan dan bantuan kita. Ramai juga yang telah berjaya mengubah nasib diri dan keluarga hasil sumbangan kecil yang kita kumpulkan bersama.

“Selain projek SEED di Bangladesh, ada banyak lagi projek kebajikan yang dijalankan Islamic Relief dan memberi impak besar kepada keluarga memerlukan antaranya projek ternakan ayam di Kosova, tanaman sayur-sayuran di Syria, projek rumah hijau di Albania dan Bosnia serta banyak lagi,” jelas Imelda.

Projek SEED di Bangladesh hanyalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan hasil sumbangan orang ramai melalui MySedekah. Jadilah sebahagian daripada asbab kebaikan dengan menyokong usaha Islamic Relief Malaysia dalam membantu komuniti yang memerlukan di seluruh dunia. Ketahui lebih lanjut atau salurkan sumbangan anda melalui MySedekah. Semoga setiap rezeki yang dikongsi menjadi saham akhirat yang berpanjangan buat kita semua.