Perkembangan Terkini – Kenya

1.2 juta orang memerlukan bantuan segera di Kenya

23 daripada 47 wilayah di Kenya telah terjejas akibat kemarau.

IR Kenya sedang menumpukan usaha intervensi dalam sektor Kesihatan dan Nutrisi, Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH), Makanan dan Mata Pencarian serta Penyelesaian Konflik.

Islamic Relief Kenya beroperasi di kawasan yang terjejas iaitu wilayah Wajir, Mandera dan Garissa.

Ingat Kemanusiaan, Ingat ISLAMIC RELIEF!

#EastAfricaCrisis
#Water4Life

Hari Wanita Sedunia – Kisah-kisah perubahan

Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, lima wanita dari serata dunia berkongsi kisah-kisah perubahan dan harapan mereka untuk masa depan yang lebih cerah.

Islamic Relief telah menerajui pemerkasaan ekonomi dan sosial kaum wanita selama beberapa dekad, dan tahun ini, kami amat berbangga untuk menyokong tema kempen Hari Wanita Sedunia: #BeraniUntukBerubah

Dari memperjuangkan keusahawanan wanita sehinggalah berkempen menentang keganasan berasaskan jantina, projek-projek dan inisiatif kami yang inovatif telah membolehkan ramai wanita di seluruh dunia untuk mengatasi cabaran mereka dan membina kekuatan untuk menjadi #BeraniUntukBerubah

 

Minire, 50, menetap di Bosnia

IWD_Bosnia

“Kehidupan saya tidaklah mudah. Saya telah kehilangan tiga orang anak, dua daripadanya selepas dilahirkan, dan satu lagi setelah hari jadinya yang kesebelas di dalam sebuah kemalangan. Saya juga telah kehilangan suami saya, yang menyebabkan saya terpaksa membesarkan anak-anak saya yang lain sendirian. Kehilangan telah menjadi sebahagian dari kehidupan saya. Saya mengalami kejutan dan tekanan selama beberapa tahun. Ramai orang yang bersimpati dengan saya, tetapi terdapat satu masa, saya berasa amat terdesak dan tidak lagi bersemangat untuk meneruskan kehidupan, saya telah berjaya mengumpulkan kekuatan yang tidak pernah saya sedari ada pada saya. Saya cuma berpendidikan setakat sekolah renda, tetapi saya telah berusaha mencari latihan vokasional untuk perniagaan permulaan, dan berbincang dengan wanita-wanita lain untuk membuka perniagaan mengait dan menjahit kerana ramai wanita di kampung saya yang mempunyai kemahiran tersebut. Apabila saya mendengar bahawa Islamic Relief ada menawarkan latihan, saya ternampak banyak peluang.  Saya mahu datang ke sini, dan cabar diri saya dan memulakan kehidupan yang baru. Kini, saya bekerja di dalam projek pemerkasaan wanita ini. Wanita adalah kuat – sangat, sangat kuat. Mereka hanya perlu melihat ke dalam diri mereka untuk menemukan semangat dan kekuatan yang mereka miliki. Kekuatan ini datangnya daripada anak-anak yang kami besarkan. Bagi mereka, kami mampu memikul beban dunia di atas bahu kami, dan ya, benar – kami bekerja 24 jam sehari. Kami tidak pernah mengalah dan kami tidak pernah bersungut.  Inilah yang membuat kami golongan yang istimewa.”

 

Taisa, 55, menetap di Chechnya

IWD_Chechnya

“Anak perempuan sayalah punca saya tidak pernah mengalah. Dia tidak membenarkan saya menjadi seorang yang lemah. Sewaktu dia berusia enam bulan, doktor telah tersalah diagnos dia dengan palsi serebrum dan kemudian mengatakan bahawa, dia mungkin menghidap ensefalopati. Saya ada enam orang anak dan saya sentiasa berusaha untuk melayan Diana sebagai seorang anak istimewa. Semasa suami saya biasanya akan meminta Diana untuk melakukan sesuatu seperti mana anak-anak yang lain – saya berasa sedih. Tetapi lama-kelamaan, saya faham bahawa perkara ini lebih baik untuknya. Saya mula bertindak lebih inklusif, dengan membiarkan Diana tidur bersama anak-anak saya yang lain, mengajarnya untuk membersihkan dirinya dan memakai pakaian sendiri, dan membuat kerja-kerja rumah yang lain. Saya mendidik anak-anak saya  untuk melayan Diana seperti orang lain. Kini, Diana boleh menguruskan dirinya sendiri. Walaupun dia mungkin kurang mahir untuk melakukannya, ini telah membuatkan dia berasa sama seperti kanak-kanak lain. Saya telah menubuhkan organisasi sendiri untuk membantu wanita lain, dengan menunjukkan contoh bagaimana untuk menguruskan anak-anak kurang upaya mereka.  Organisasi saya membekalkan ibu dan ibu tunggal kepada anak-anak kurang upaya dengan pelbagai kursus seperti menjahit, mendandan rambut, dan memasak, yang membolehkan mereka menambah pendapatan. Saya juga mengadakan kelas-kelas di sekolah, kolej dan universiti, untuk menggalakkan toleransi dan kefahaman mengenai ketidakupayaan. Saya faham sukarnya golongan ibu yang terpaksa berhadapan dengan kejadian anak kurang upaya mereka disisihkan atau dijadikan sasaran di taman permainan. Masyarakat kita perlu melatih diri untuk menjadi lebih sabar dan bertolak ansur terhadap golongan kurang upaya dan saya mahu membuat sumbangan yang kecil menerusi kursus-kursus yang saya anjurkan.”

 

Fatin Abu Dhaka, 35, menetap di Gaza

IWD_Gaza

“Saya hanya mempunyai satu mesin jahit tua yang sering sahaja rosak sewaktu saya menggunakannya. Saya telah menggunakan mesin ini untuk menjahit pakaian saya dan anak-anak saya kerana ingin menjimatkan duit. Harga pakaian baru terlalu maha. Saya sering memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga saya dan membantu suami saya. Beliau bekerja, namun pendapatan bulanannya tidak melebihi $150 sebulan, ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan asa keluarga kami. Dengan dana yang disumbangkan oleh Islamic Relief, saya telah membeli mesin jahit yang baru, seterika dan sedikit fabrik. Saya memilih untuk membuka perniagaan di kawasan saya yang tidak mempunyai banyak kedai jahit. Semasa bulan pertama beroperasi, saya telah mendapat ramai pelanggan. Pada penghujung bulan, saya telah berjaya memperoleh lebih $200 dan boleh membeli makanan untuk keluarga saya selain membeli lebih banyak fabrik untuk projek jahitan saya. Saya ada berkira-kira untuk menggaji seorang pekerja wanita lain. Wanita ini, yang merupakan kenalan saya, sedang menyara keluarganya yang besar pada waktu itu. Saya berasa amat gembira dapat menjadi wanita yang produktif di dalam komuniti saya dan keyakinan diri saya telah meningkat. Rakan-rakan, keluarga dan jiran-jiran saya semuanya berbangga dengan pencapaian saya.”

 

Uzra Lali, menetap di Afghanistan

IWD_Afghanistan

“Saya buta huruf dan ini telah menyebabkan saya berhadapan banyak masalah. Saya tidak boleh membantu anak saya dalam pelajaran mereka. Semasa saya mengambil ubat-ubatan, saya tidak dapat memahami dos atau masa mengambil ubat tersebut. Di hospital, saya tidak dapat membezakan jabatan-jabatan yang ada. Saya telah menghadiri kelas selama Sembilan bulan. Kami belajar membaca dan mengira. Kini, terdapat banyak perubahan di dalam hidup saya. Saya boleh membantu anak saya dalam pelajaran mereka. Saya boleh menguruskan perniagaan kecil saya, yang menghasilkan sarung tangan, beg, skaf, dan selendang. Wanita kini mempunyai kebebasan untuk belajar. Bengkel-bengkel yang diadakan telah menimbulkan kesedaran kepada wanita dan membolehkan mereka bekerja di masa akan datang, untuk belajar dan berkhidmat kepada masyarakat.”

 

Safiatou Sacko, menetap di Mali

IWD_Mali

“Sejak dewan perbandaran ini dibuka, belum ada sesiapa pun dari kawasan saya, Mana, yang menjadi penasihat. Sayalah orang yang pertama! Saya berasa gembira yang tak terhingga. Siang malam saya akan mengucapkannya! Politik memerlukan anda dikenali ramai, dan jika saya bukan sebahagian dari koperasi ini, orang tidak akan mengenali saya, apatah lagi mahu mengundi saya. Sewaktu saya terpilih, saya bercita-cita untuk membantu semua wanita dalam komuniti saya. Wanita perlu menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin bagi membolehkan komuniti mereka berkembang. Saya mahu pendidikan untuk anak-anak perempuan saya. Saya hanya bersekolah sehingga darjah enam sekolah rendah. Saya tidak mahu anak-anak saya menerima nasib yang sama. Saya mahu mereka bersekolah sehingga mereka mendapat pekerjaan. Sekiranya seseorang wanita itu bekerja, beliau boleh menyara dirinya dan juga orang lain.”

 

Kebuluran telah diisytiharkan di Selatan Sudan, dan Afrika juga dalam risiko

Bilangan orang ramai yang berhadapan risiko kebuluran kini mencecah lebih 11 juta.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan kebuluran di beberapa kawasan di Selatan Sudan, kali pertama ia diumumkan di mana-mana bahagian dunia dalam tempoh enam tahun.

Pergolakan dan kemarau di Afrika (di mana imej di bawah diambil pada tahun 2016) dan Selatan Sudan telah mengakibatkan krisis kemanusiaan pada kadar yang membimbangkan.

Laporan yang diperolehi dari kawasan tersebut menandakan krisis ini akan berlarutan menjadi lebih teruk berbanding peristiwa kebuluran pada tahun 2011.

Pegawai Eksekutif Kanan Islamic Relief Naser Haghamed berkata: “Situasi di Selatan Sudan kini merupakan isu yang sangat-sangat serius”

“Kehidupan kini menjadi sebuah penderitaan yang tidak tertanggung dengan kejadian kelaparan yang menular yang telah membunuh ramai penduduk di kawasan tersebut.”

“Kita mesti bertindak segera dan kami memohon penyokong kami untuk menderma seikhlas hati mereka supaya kami dapat membantu mereka yang sangat-sangat memerlukan bantuan makanan.”

 

Ibu empat orang anak ini mengatakan bahawa beliau hanya mampu memberikan anak-anaknya makan untuk tempoh lima hari akan datang.

Seramai 100,000 orang di Selatan Sudan menghadapi bencana kebuluran dengan satu juta lagi hampir-hampir dikelaskan sebagai mangsa kebuluran.

Tanduk Afrika yang merangkumi Etiopia, Kenya dan Somalia telah dilanda kemarau yang berbulan-bulan. Hospital di Somalia kini merawat kanak-kanak yang mengalami dehidrasi teruk manakala di Kenya pula, kerajaan telah mengisytiharkan darurat peringkat kebangsaan.

Islamic Relief telah pun memerlukan kerja-kerja di peringkat lapangan di Etiopia (gambar di bawah menunjukkan orang ramai yang sedang berbaris untuk menerima agihan air), Kenya, Somalia dan Selatan Sudan dalam usaha menangani impak konflik dan kemarau tersebut.

Tahun lalu, kami telah melaksanakan sebuah projek di Somalia yang melibatkan pengagihan bekalan makanan darurat, ubat-ubatan dan keperluan dan penstokan semula haiwan yang merupakan sumber susu dan daging yang menjadi kebergantungan penduduk.

Lebih terkini, kami telah menjalankan inisiatif pengangkutan air dengan trak dan membekalkan bantuan makanan di Etiopia lanjutan kejadian perubahan cuaca. Di Kenya, kami menjalankan program bernilai £1 juta yang telah meningkatkan kebingkasan isi rumah terhadap kemarau.

Kami sedang berusaha ke arah penyelesaian jangka-panjang di Somalia untuk menghapuskan kitaran kemarau dan banjir yang berulang, dengan menjalankan projek lubang gerek bernilai $5 juta yang akan membekalkan 36 punca bekalan air yang mampan merentasi kawasan tersebut dan memasang tangki bawah tanah yang boleh menyimpan air hujan yang pada waktu ini mengalir bebas ke Laut Merah.

     

Sumber: Islamic Relief Worldwide (IRW)

Perkembangan Terkini – Sudan

Menurut UNCHR, lebih 131,000 pelarian Selatan Sudan telah tiba di Sudan pada tahun 2016, yang merupakan bilangan ketibaan tertinggi tahunan yang pernah direkodkan.

Keganasan, kebimbangan makanan, malnutrisi, dan kekurangan akses terhadap perkhidmatan asas telah menyebabkan penyingkiran dalam negeri besar-besaran.

Pada bulan Januari, IR Sudan di Bahagian Tengah Darfur, telah menjalankan projek WASH dan mengedarkan kit kebersihan (yang berjumlah 1350). Sebagai tambahan, kempen pembersihan Jerry-can juga telah dijalankan dan 2000 Jerry-can telah dibersihkan.

Di Barat Korfofan, IR Sudan telah membuka pejabat khidmat masyarakat yang baru di pekan El Mairam dan telah menjalankan kaji selidik penilaian air.

Dua perkarangan air telah dikenal pasti untuk tujuan pemulihan.

Pendaftaran dan pengesahan pelarian Selatan Sudan di dalam pekan El Mairam telah bermula dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.

 

Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) bakal lahirkan pelajar Rohingya berkualiti tinggi.

Kajang, 15 Feb. 2017 – Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini melancarkan Pusat Bimbingan Alternatif buat masyarakat Rohingya bertempat di Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor.

Pusat tersebut yang dikenali sebagai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) merupakan sekolah pertama ditubuhkan di bawah IRM dan dipantau sepenuhnya oleh IRM sendiri.

Tujuan penubuhan sekolah tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada warga minoriti Rohingya yang berada di sekitar kawasan Selangor.

Majlis disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Presiden HUMANiTi Malaysia yang juga Duta Khas OIC ke Myanmar.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Tn. Hj. Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zaid Al-Rawni, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Canada serta kakitangan IRM.

Zairulshahfuddin dalam ucapannya berkata, “Pendidikan adalah hak milik setiap insan. Masa depan anak-anak Rohingya ini bergantung kepada bagaimana kita mencorak mereka hari ini. Kerana itu, IRM bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sekolah impian ini agar anak-anak masyarakat Rohingya yang berada di sekitar Selangor khususnya tidak tercicir daripada persediaan asas untuk masa depan mereka.”

 

Mengenai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE)

Menurut Zairulshahfuddin lagi, sekolah tersebut akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Enam mata pelajaran telah dikenalpasti dan akan diberi penekanan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Myanmar, Matematik, Sains serta Pendidikan Islam.

IRM juga menyediakan kelas-kelas kemahiran seperti memasak, menjahit dan komputer. Para guru terdiri daripada guru terlatih lulusan universiti tempatan dan juga guru dari etnik Rohingya sendiri.

Selain itu, bagi memastikan anak-anak Rohingya ini terus menimba ilmu, satu program khas (HOPE) bakal dilaksanakan pada setiap hujung minggu di mana guru-guru, sukarelawan dan tenaga pengajar RISE akan turun ke komuniti dan membuat outreach education kepada mereka.

“Peranan IRM terhadap sekolah ini sangat besar memandangkan ia dikelolakan sepenuhnya oleh IRM. IRM menyediakan bantuan kelengkapan sekolah, peralatan pembelajaran, gaji guru serta sewa sekolah,” katanya lagi.

 

Mengapa IRM bantu masyarakat Rohingya

Menurut United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), terdapat sekurang-kurangya 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia di mana hanya 54,856 orang sahaja yang berjaya didaftarkan di bawah UNHCR.

Di negara mereka, masyarakat Rohingya tidak dibenarkan untuk memiliki tanah atau rumah dan mereka juga tidak dibenarkan untuk mendapat pendidikan asas sehingga menyebabkan 85% hingga 90% masyarakat Rohingya buta huruf.

Lantaran itu, mereka tidak boleh membaca dan menulis walaupun di dalam bahasa ibunda sendiri, dan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

IRM mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat Rohingya di kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang, Serdang dan Balakong dengan penyediakan Pusat Bimbingan Alternatif ini dengan mengetengahkan pembelajaran akademik kepada kanak-kanak Rohingya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434.

Program Cheer To School (CTS) di Sabah

Sabah, 10 Feb. 2017 – Seramai 188 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kudat (SMK Kudat) diraikan dalam satu program Cheer To School (CTS) atau “Ceria Ke Sekolah” anjuran Islamic Relief Malaysia(IRM). Mereka yang mendapat sumbangan ini adalah terdiri daripada mangsa kebakaran pada pertengahan tahun 2016 yang lalu.

Program CTS ini diadakan setiap tahun dan membantu di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Tujuan utama program ini adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan melalui bantuan persekolahan seperti set pakaian sekolah, sepasang kasut berserta stoking, beg sekolah dan set alat tulis.

Turut hadir bagi memeriahkan program ialah Tuan David Ambang iaitu pengurus cawangan Maybank Kudat yang bersemangat dalam memberi sokongan kepada IRM kerana beliau merupakan sukarelawan IRM.

Fikir Kemanusiaan, Fikir ISLAMIC RELIEF!