Di sebalik keindahan putih salju yang diimpikan oleh kebanyakan orang, tersingkap penderitaan buat mereka yang perlu berhadapan dengan ancaman cuaca sejuk melampau.

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA
Kemanusiaan Tanpa Sempadan

mySedekah

Zahirkan Kesyukuran

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah sama ada nikmat rezeki yang berbentuk wang ringgit, pangkat dan kedudukan mahupun nikmat sihat, bahagia, ketenangan, kelapangan masa dan lain-lain yang kita perolehi dalam kehidupan seharian.

Antara cara untuk kita menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah adalah dengan mentaati perintahNya serta berusaha melakukan kebaikan sebagai bekalan menuju kehidupan akhirat yang abadi.

Melihat kepada konteks situasi ketika ini, hampir seluruh dunia sedang terkesan dengan impak pandemik Covid-19. Sementara di negara-negara konflik pula, mereka mengalami tekanan berganda dengan ancaman kebuluran, kekejaman, penindasan dan sebagainya.

Disebabkan itu, peranan dan pemahaman erti syukur perlu diperkukuhkan lagi agar kita tidak mudah berputus asa juga berkira untuk membantu antara satu sama lain.

Ini kerana, sedekah dan infaq merupakan salah satu cabang dalam menzahirkan rasa syukur menerusi perkongsian rezeki yang dikurniakan Allah. Sesungguhnya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran besar bagi orang yang bersedekah walau sekecil manapun nilainya.

Dunia Semakin Tenat

  • 690 juta orang di seluruh dunia tidur dalam kelaparan setiap malam. – World Food Program (WFP)
  • Jumlah penduduk berdepan kemiskinan tahun ini adalah sekitar 88 juta hingga 115 juta penduduk. – Bank Dunia
  • Menjelang tahun 2021, 235 juta orang dijangka memerlukan bantuan kemanusian dan perlindungan. Ia bersamaan 1 daripada 33 orang di seluruh dunia.
  • Dianggarkan lebih 150 juta penduduk dunia akan hidup di bawah paras kemiskinan melampau dengan pendapatan RM7.89 sehari pada tahun 2021.
  • Konflik peperangan telah meragut 2 juta nyawa kanak-kanak, 4 hingga 5 juta orang kurang upaya selain menjadikan 12 juta orang sebagai pelarian dan 1 juta kanak-kanak berstatus yatim piatu sejak sedekad yang lalu.
  • Setiap 5 minit, seorang kanak-kanak maut akibat menjadi mangsa keganasan.
  • Seramai 80 hingga 100 juta kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di seluruh dunia sebenarnya menjadi mangsa pembunuhan sejak bayi, kekurangan zat makanan dan hidup secara terabai.
  • Lebih daripada 79.5 juta orang terpaksa menjadi pelarian setakat tahun 2019 manakala 45.7 daripadanya merupakan pelarian dalam negara (IDPs).
  • Sekurang-kurangnya 224 juta kanak-kanak dilaporkan tidak mendapat akses untuk belajar di sekolah.
  • 3 juta golongan kanak-kanak dan dewasa menjadi mangsa pemerdagangan manusia setiap tahun untuk menjadi buruh paksa, pelacur dan perhambaan hutang di seluruh dunia. 56 peratus daripadanya merupakan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Bersama Kita Wujudkan Dunia Prihatin Sebagai Tanda Kesyukuran

Kempen mySedekah menyasarkan dana sebanyak RM3 juta bagi bantuan merangkumi sektor makanan, kecemasan, pembangunan komuniti, kesihatan, pendidikan, air, sanitasi & kebersihan dan lain-lain.

Kempen ini akan berjalan sepanjang tahun bagi menghubungkan jalinan kerjasama di antara penyumbang dan penerima manfaat juga daripada tangan yang memberi kepada tangan yang menerima.

“Impak pandemik Covid-19 memang sangat besar. Saya juga tidak terkecuali dikenakan pemotongan gaji. Bila saya bagitau suami lepas ni kita perlu lebih berjimat cermat, suami saya terus jawab, jangan lupa banyakkan sedekah, biar rezeki lebih mudah dan melimpah ruah. Suami juga pesan pada saya jangan lupa bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya masih ada gaji dan pekerjaan walaupun ada pengurangan. InshaAllah, saya akan terus berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.” – Penyumbang Islamic Relief Malaysia.

“Kalau nak diikutkan, saya ni bukan datang daripada keluarga yang senang. Sekarang pun saya masih lagi membina kerjaya dan berusaha mencari keselesaan hidup. Bila sebut tentang sedekah ni, pada saya sedekah dapat buat saya rasa lebih bersyukur dan buat saya rasa cukup dengan nikmat yang Allah berikan, lagi-lagi bila tengok orang lain yang lebih susah. Jadi, kalau tak mampu bagi banyak, saya tetap akan pastikan sekurang-kurangnya dalam sebulan saya mesti ada buat sumbangan juga walaupun sedikit.” – Penyumbang Islamic Relief Malaysia.

Orang yang bersyukur adalah orang yang sentiasa terbuka mindanya untuk mengambil pengajaran apabila melihat kesusahan yang menimpa orang lain. Ia juga dapat mendidik diri agar tidak kufur atau mensia-siakan nikmat yang diperolehi walaupun sedikit.

#mysedekah #kemanusiaantanpasempadan #sikitpunboleh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
Share on email
Email