Krisis kemanusiaan di Yaman kekal yang terburuk di dunia.
Sebelum perang tercetus pada tahun 2015, Yaman sudah dikenali antara negara termiskin di dunia.
Menurut laporan Program Makanan Sedunia (WFP) pada tahun 2023, kira-kira 21.6 juta penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan hidup.
Lebih 50 peratus daripada populasi di negara itu pula, berdepan ancaman kekurangan makanan atau mengalami kelaparan teruk di tahap 3 dalam Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
Alhamdulillah, berkat sokongan dan sumbangan rakyat Malaysia menerusi kempen MySedekah, Islamic Relief Malaysia berhasil menyalurkan bantuan makanan kepada 110 buah keluarga di Taiz Yaman.
“Hidup kami sangat susah. Kami antara jutaan rakyat Yaman yang terpaksa bergantung hidup dengan bantuan kemanusiaan.
“Bayangkan, kemiskinan yang kami alami sampai tahap tak ada langsung secebis makanan di rumah untuk disuap ke mulut anak-anak kami yang masih kecil.
“Sejak dapat bantuan pek makanan daripada Islamic Relief, anak-anak saya sangat gembira kerana tidak perlu lagi tidur dengan perut yang kosong berhari-hari. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang membantu kami,” kata Naseem Mohammed Abdo Mukbel.