Memperingati Pengorbanan Sukarelawan Kemanusiaan

Bagi memperingati jasa para sukarelawan kemanusiaan, sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia diraikan setiap tahun pada 19 ogos dalam mengenang jasa mereka yang terkorban ketika berada di lapangan di negara miskin dunia yang merupakan tempat berbahaya serta dipenuhi dengan pelbagai krisis.

 

Sejarah buruk itu berlaku pada 19 Ogos 2003, iaitu insiden peperangan yang mengakibatkan kemusnahan Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Baghdad sekaligus mengorbankan 22 nyawa termasuklah Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB dan Pemimpin Misi PBB di Iraq, Sergio De Mello.

 

Apa yang ingin ditekankan ialah selepas insiden itu berlaku, sukarelawan kemanusiaan masih lagi berhadapan dengan pelbagai risiko dalam misi bantuan kemanusiaan. Oleh itu, Hari Kemanusiaan Sedunia diiktiraf sebagai penanda pada masa akan datang di mana jutaan manusia tidak bersalah masih memerlukan bantuan seperti perlindungan, makanan, dan barangan bukan makanan yang merupakan natijah daripada beberapa isu, sama ada perbalahan politik atau bencana alam.

 

Situasi kecemasan sering menyebabkan perubahan mendadak kepada mereka yang hidup dalam keadaan terancam, dan bilangannya pula kian meningkat saban hari. Mereka adalah golongan terpinggir yang menetap di negara miskin. Atas alasan itu, tanggungjawab untuk membantu jatuh kepada sukarelawan kemanusiaan dan melibatkan kakitangan kesihatan dalam menyediakan bantuan jangka masa panjang apabila situasi kecemasan berlaku tanpa mendiskriminasikan sesuatu kaum.

 

Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berpendapat, “Kesihatan adalah hak manusia, dan serangan terhadap pusat kesihatan adalah pencerobohan hak.” Dalam erti kata lain, bantuan yang melibatkan nyawa perlu dilindungi bagi populasi yang terkesan tanpa diceroboh oleh apa jua bentuk keganasan.

 

Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil langkah proaktif untuk menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia sebagai tanda untuk memperingati pengorbanan setiap sukarelawan pada masa yang lalu dan hadapan sentiasa membahayakan nyawa dan keselamatan mereka demi membantu mereka yang memerlukan. Fokusnya adalah untuk menggalakkan lebih ramai sukarelawan untuk membantu penerima manfaat.

 

Menariknya, aktiviti itu turut melibatkan selebriti tempatan di Malaysia sebagai batu loncatan untuk mereka merasakan pengalaman secara langsung sekaligus dapat berkongsi pengalaman itu dengan orang ramai. Irma Hasmie bersama pasanganya Redza Syah Azmeer yang merupakan Ikon Kemanusiaan IRM percaya bahawa aktiviti itu adalah inisiatif yang baik oleh IRM memandangkan ia memberi pendedahan kepada anaknya untuk melihat situasi sebenar menerusi pemerhatian terhadap sukarelawan.

 

“Atas dasar kemanusiaan, tak perlulah kita persoalkan siapa yang kita tolong dan siapa mereka dari segi bangsa dan agama. Jadi sempena Hari Kemanusiaan Sedunia ini, kita tidak boleh membezakan taraf manusia itu sendiri,” kata Irma ketika ditemui.

 

Seperti yang dititikberatkan oleh Setiausaha PBB, Antonio Guterres, Hari Kemanusiaan Sedunia merupakah peluang untuk kita menunjukkan solidariti untuk mereka yang terkesan dengan konflik, krisis, atau bencana alam.