Maybank Islamic sumbang keperluan asas kepada golongan terjejas Covid-19

PONTIAN, 11 Disember 2021 – Seramai 100 buah keluarga daripada golongan asnaf termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan penduduk terjejas pandemik telah menerima bantuan pek makanan menerusi projek ‘Covid-19 Immediate Assistant’ tajaan Maybank Islamic di Kompleks Penghulu Mukim Rimba Terjun, Jalan Parit Sulong, Pontian, Johor.

Bantuan ini merupakan kesinambungan daripada agihan bantuan yang telah dimulakan sejak Oktober lalu.

Objektif program ini dijalankan tidak lain untuk meringankan beban golongan memerlukan selepas pasca pandemik.

“Keseluruhan penerima bantuan bagi projek ini adalah seramai 1,200 orang melibatkan negeri Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Terdapat 2 kaedah penyerahan bantuan yang digunapakai iaitu aplikasi perbankan mudah alih atau e-dompet terbaharu iaitu aplikasi MAE dan pek makanan,” kata Fa’azurah Kadir, Pengurus Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Setiap pek makanan mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, makanan dalam tin, gula, bihun dan biskut.

Menurut Irma Hasmie Ibrahim, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir dalam sesi agihan tersebut berkata, inisiatif yang dijalankan oleh Maybank Islamic dan Islamic Relief Malaysia ini wajar diteruskan lagi memandangkan para penerima yang terpilih sememangnya amat terjejas dari sudut kewangan dan pendapatan.