Lebih 17 Ribu Keluarga di Syria Terjejas Akibat Banjir

BARAT LAUT SYRIA, 24 Mei – Hujan lebat dan angin kencang telah menjejaskan Barat Laut Syria terutamanya di wilayah Idlib dan Aleppo sehingga menyebabkan banjir kilat.

Banjir ini telah membawa kepada kemusnahan kem-kem pelarian, merosakkan jalan raya dan menenggelamkan tanah pertanian, rumah serta kemudahan perubatan dan pendidikan. Ini menyebabkan berlakunya perpindahan penduduk.

Laporan awal menunjukkan bahawa 24 lokasi di wilayah Aleppo, terutamanya daerah Afrin dan Azaz dan 15 lokasi di wilayah Idlib terutamanya wilayah Harim terjejas.

Berdasarkan penilaian Islamic Relief, 41 kem pelarian telah terjejas dan memberi kesan kepada 6,428 orang. Pihak berkuasa tempatan turut melaporkan bahawa 17,669 keluarga di lapan daerah kecil terjejas dan lebih daripada 521 khemah rosak.

Keadaan berlumpur telah mengganggu akses kanak-kanak untuk ke sekolah dan menghalang keluarga pelarian untuk mendapatkan perkhidmatan penting di kem-kem ini.

Syria yang dihambat krisis kemanusiaan dan konflik berterusan menjadi bertambah buruk sejak gempa bumi kuat melanda negara tersebut pada Februari 2023. Situasi ekonomi yang semakin merosot menjadikan lebih ramai penduduknya berdepan cabaran hidup. Pada tahun 2024, sekitar 16.7 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan, satu peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.