Krisis yang sedang berlaku di Timur Tengah serta gangguan rantaian bekalan global menyebabkan Aidiladha yang paling mahal pernah dicatatkan, sekali gus meningkatkan kadar kelaparan dan menghalang penghantaran bantuan di beberapa negara termiskin di dunia, kata Islamic Relief Worldwide.
Di Sudan, kos untuk melaksanakan pengagihan makanan qurban tahunan oleh Islamic Relief meningkat lebih 60%, harga roti telah berganda, dan harga bahan api hampir meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga bulan lepas.
Ketika umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia menyambut Aidiladha minggu hadapan, Islamic Relief sedang menjalankan pengagihan qurban (ibadah korban) bagi menyediakan daging kepada keluarga yang memerlukan. Bagi ramai penerima, ia adalah satu-satunya daging yang mereka akan makan pada bulan ini dan sangat penting untuk mengelakkan kekurangan zat makanan. Pada tahun 2025, Islamic Relief telah mengagihkan daging qurban kepada 3.2 juta orang di 29 negara.
Di Sudan, yang kini berdepan krisis kebuluran terbesar di dunia akibat tiga tahun perang, Islamic Relief mengagihkan daging qurban dalam tin kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan pada awalnya menyasarkan lebih 92,500 orang penerima. Namun, peningkatan kos yang sangat cepat bermakna jumlah penerima atau kuantiti daging bagi setiap keluarga mungkin terpaksa dikurangkan dengan ketara kecuali jika dana tambahan diperoleh.
Shihab Mohamed Ali, pengurus kanan program Islamic Relief di Sudan, berkata:
“Perang di Timur Tengah semakin menambah penderitaan rakyat di Sudan kerana ia memutuskan perdagangan dan import. Bagi banyak keluarga rentan, ini adalah Aidiladha paling mahal yang pernah mereka alami, dan mereka bimbang bagaimana mahu memberi makan kepada anak-anak mereka.
“Beberapa bulan lalu, kami boleh membeli enam keping roti dengan 1,000 pound Sudan, tetapi sekarang hanya tiga keping sahaja. Harga bahan api meningkat sebanyak 182%, yang secara automatik meningkatkan harga komoditi lain. Kos pengagihan qurban melonjak daripada $5 setiap tin kepada $8. Pengeluaran makanan tempatan juga terjejas kerana baja, benih dan input pertanian semakin sukar diperoleh di pasaran. Kesan ini dirasai di seluruh Sudan, tetapi paling teruk di wilayah seperti Kordofan dan Darfur yang sedang mengalami pertempuran sengit dan tahap kekurangan zat makanan yang tinggi.
“Kenaikan kos dan kekurangan dana bermakna kami mungkin perlu mengurangkan jumlah penerima atau kuantiti daging yang diterima oleh setiap keluarga.”
Harga yang semakin meningkat dan kadar pertukaran mata wang yang tidak stabil menyebabkan pembekal yang biasanya bekerjasama dengan Islamic Relief di Sudan enggan menandatangani kontrak.
Pertempuran baharu di Darfur dan Kordofan memaksa ratusan ribu orang berpindah ke ibu kota Khartoum dan negeri lain yang lebih selamat dan stabil, dengan keluarga pelarian bergantung kepada dapur komuniti untuk bantuan. Namun dapur komuniti seperti di Khartoum terpaksa menolak orang kerana kekurangan dana untuk membeli bekalan yang semakin mahal. Dapur komuniti yang menjadi talian hayat rakyat Sudan kini ditutup pada kadar lebih 40% dalam tempoh enam bulan terakhir.
Pasukan Islamic Relief turut melihat cabaran yang sama di negara lain yang turut terjejas oleh krisis kelaparan teruk. Di beberapa kawasan Somalia, di mana kemarau telah menyebabkan ramai keluarga hampir kebuluran, kos bahan api meningkat lebih dua kali ganda daripada sekitar $0.60 seliter kepada $1.50, sekali gus meningkatkan kos makanan dan menghalang penghantaran bantuan. Di Lubnan, di mana serangan berterusan telah menyebabkan seluruh komuniti berpindah, harga satu tangki bahan api 20 liter meningkat daripada $19 kepada $27, sekali gus menaikkan harga barangan lain dan kos perkhidmatan asas.
Islamic Relief Worldwide terus menyeru agar penyelesaian diplomatik dicapai bagi krisis di Timur Tengah serta langkah segera diambil untuk memastikan bantuan kemanusiaan dan bekalan penting seperti bahan api, makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain dapat disalurkan tanpa halangan.
Nota
- Qurban bermaksud pengorbanan. Pada bulan Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia melaksanakan ibadah qurban dengan menyembelih haiwan seperti kambing, biri-biri, lembu atau unta sebagai simbol mengingati kesanggupan Nabi Ibrahim AS mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS demi ketaatan kepada Allah SWT. Daging qurban kemudiannya diagihkan kepada golongan yang memerlukan agar mereka dapat menikmati hidangan berkhasiat sempena Aidiladha.
- Di Sudan, agihan qurban oleh Islamic Relief kebiasaannya melibatkan pemberian lembu hidup atau daging dalam tin sempena Aidiladha, dengan sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang lazimnya menerima 10 tin daging seberat 450 gram setiap satu.
Islamic Relief Worldwide ialah sebuah organisasi kemanusiaan dan pembangunan berteraskan nilai keagamaan yang menyokong komuniti rentan yang terjejas akibat kemiskinan, konflik dan bencana. Ditubuhkan pada tahun 1984, organisasi ini telah berkembang menjadi antara organisasi kemanusiaan Muslim terbesar di dunia dan pada tahun lalu telah membantu lebih 14.5 juta orang di 39 negara.

