Islamic Relief Malaysia Rai Pelajar Pelbagai Latar Belakang

Seramai 60 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 43 orang pelajar aliran perdana daripada keluarga B40 dan ke bawah di Sekolah Kebangsaan Jalan Semenyih 2 (Integrasi), Kajang, Selangor menerima bantuan daripada Islamic Relief Malaysia menerusi projek ‘Cheer to School’.

Bantuan yang diberikan berupa alat tulis, pensil warna, set geometri, botol air dan stokin.

Sumbangan ini merupakan tajaan daripada Staedtler, Alpine Utility, Mat Telawi dan juga hasil kutipan dana daripada orang ramai.

Objektif program ini dijalankan adalah bagi meringankan beban ibu bapa serta penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, selain berperanan dalam menyuntik semangat para pelajar untuk terus menimba ilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, ‘Cheer to School’ adalah medium jaringan kolaborasi yang sangat strategik dalam menggabungkan pelbagai pihak seperti sekolah, para pelajar, ibu bapa, kakitangan dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, seterusnya para penyumbang yang dermawan.

“Majoriti para pelajar yang menerima bantuan ini kelihatan sangat teruja dan gembira. Respon yang kami terima daripada pihak sekolah juga sangat baik.

“Sumbangan ini mungkin kecil dan tidak seberapa, tetapi bila ada anak-anak yang berkongsi bahawa ini kali pertama mereka menerima bantuan daripada NGO, saya rasa sangat berbesar hati,” katanya.

Selain agihan bantuan, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Irma Hasmie, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang berkesempatan untuk beramah mesra dan melakukan aktiviti bersama para pelajar PPKI di kelas mereka.

“Seronok rasanya apabila melihat keletah dan keterujaan anak-anak sewaktu menerima barangan sumbangan. Momen-momen sebeginilah sebenarnya menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus aktif menyantuni masyarakat dalam kerja-kerja kebajikan,” kata Irma Hasmie.

Sementara itu, antara sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program ‘Cheer to School’ ini ialah Sekolah Kebangsaan Maludam, Sekolah Kebangsaan Semarang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Maludam, Sekolah Kebangsaan Beladin, Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin dan Sekolah Kebangsaan Spinang di Maludam serta Sekolah Kebangsaan Nanga Embuau, Sekolah Kebangsaan Nanga Selibut, Sekolah Kebangsaan Nanga Temalat, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hin Hua, Sekolah Kebangsaan Cardinal Vaughan Song dan Sekolah Menengah Kebangsaan Song 2 di daerah Song, Sarawak.

Di Sabah pula, sumbangan diberikan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Manila, Sandakan; Sekolah Kebangsaan Kota Kinabatangan, Kinabatangan; Sekolah Kebangsaan Longongon dan Sekolah Kebangsaan Saliliran di Nabawan, Sekolah Alternatif Pusat Pembangunan Kemanusiaan Kanak-kanak Kampung Pantai Bahagia, Kudat serta Persatuan Cahaya Society di Sandakan yang menempatkan anak-anak tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah.

Antara bantuan persekolahan yang diberikan bagi sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak seperti pakaian, beg, kasut sekolah, alat tulis, buku latihan, botol air, fail, pensil warna, kertas lukisan, pencuci tangan dan pelitup muka.

“Kami tak sangka kami dapat peluang yang sama. Terima kasih atas sumbangan yang diberikan dan terima kasih kerana prihatin akan nasib kami di sini,” kata salah seorang kanak-kanak tanpa warganegara yang belajar di pusat bimbingan alternatif di bawah kelolaan Pertubuhan Cahaya Society di Sandakan, Sabah.

Secara keseluruhan, projek ‘Cheer to School’ anjuran Islamic Relief Malaysia telah memberi manfaat kepada 703 pelajar.

Kepada yang ingin turut serta menyokong usaha murni ini boleh layari laman web ini untuk menyumbang: http://bit.ly/cheertoschool-irmalaysia