Islamic Relief bantu bina semula kehidupan rakyat Afghanistan

AFGHANISTAN, 3 Jun 2022 – Islamic Relief telah mengedarkan 60,670 kilogram biji benih, 28,225 kilogram baja serta 600 alatan pertanian kepada penduduk di kawasan Balkh, Bamiyan, Herat dan Nangarhar, Afghanistan Mei lalu menerusi projek kehidupan mampan.

Inisiatif ini merupakan serampang dua mata bagi membantu penduduk di negara bergolak itu menjana pendapatan dan menghasilkan sumber makanan sendiri.

Terdahulu, Islamic Relief turut menyerahkan 1,539 ekor kambing bersama 153.9 tan makanan haiwan tersebut dan 6,600 alatan pertanian kepada penerima manfaat terpilih untuk pelaksanaan projek yang sama.

Usaha dalam merangsang ekonomi penduduk setempat perlu terus giat dilaksanakan memandangkan harga makanan asas seperti bijirin, gandum dan minyak terus meningkat, dan isu kelaparan pula semakin kronik.

Menurut laporan analisis krisis makanan ‘akut’, hampir 20 juta rakyat Afghanistan menghadapi kiris Fasa 3 atau kekurangan makanan darurat Tahap 4, manakala 20,000 lagi dikesan berada dalam kelaparan Tahap 5.

Sejak Ogos 2021, Islamic Relief telah menjalankan intervensi melalui pengedaran 59,820 pek makanan, 2,630 alat penyimpanan air, 4,875 kit kebersihan, 7,617 keperluan musim sejuk dan 2,600 barangan bukan makanan kepada penduduk Afghanistan.

Bagi sektor kesihatan pula, Islamic Relief turut menyediakan kemudahan rawatan perubatan bagi pesakit psikososial, malnutrisi, mengedarkan kit keperluan asas bagi bayi yang baru lahir, kit pencegahan jangkitan Covid-19 dan sumbangan wang tunai untuk rawatan susulan.