IRM Troopers, Bukti Masyarakat Prihatin

BANGI, 7 Dis – Bersempena dengan sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019, Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil inisiatif meraikan kumpulan sukarelawan yang menjadi antara tulang belakang organisasi dalam menyantuni penerima manfaat di negara ini menerusi penganjuran program Scavenger Hunt di Taman Tasik Cempaka dan permainan bowling di Bangi Gateway Shopping Complex.

Seramai 70 sukarelawan hadir bagi mengukuhkan ukhwah sesama mereka juga kakitangan Islamic Relief Malaysia selain menyokong usaha pengumpulan dana projek Telaga Air Bangladesh (TAB) melalui yuran penyertaan program.

Projek ini adalah satu platform yang disediakan untuk sukarelawan mengumpul dana seterusnya menjalankan misi kemanusiaan ke Rangpur, Bangladesh bagi membina 17 telaga air yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1000 penduduk setempat dengan kos RM100,000.

Setakat ini, dana yang telah berjaya dikumpulkan oleh 5 sukarelawan yang menjadi teraju utama telah mencapai RM60,000.

Majlis penutup program diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin bersama Dr Mohamed Amr Attawia, Ali Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia.

Diharapkan untuk tahun 2020, lebih ramai lagi masyarakat kita terbuka hati untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan seterusnya meluaskan bantuan untuk insan-insan memerlukan.