“Cheer to School” Rai Pelajar Tanpa Mengira Agama Dan Bangsa

BAHAU, 13 Nov 2019 – Seramai 117 pelajar India dari SJK (T) Ladang Air Hitam, Jempol; SJK (T) Ladang Pertang, Pertang; SJK (T) Ladang Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan teruja dan gembira setelah dibawa membeli kelengkapan persekolahan di Pasaraya Billion, Bahau, Negeri Sembilan menerusi program “Cheer to School (CTS) 2019” anjuran Islamic Relief Malaysia.

Objektif program tahunan ini tidak lain bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg dan alat tulis selain menyuntik semangat para pelajar untuk menimba ilmu dengan lebih bersemangat.

Kebanyakan pelajar yang menerima bantuan ini terdiri daripada anak-anak penoreh getah atau pekerja sambilan yang kurang berkemampuan di mana kebiasaannya, mereka akan mengulang pakai pakaian ahli keluarga mereka atau pakaian yang telah lusuh dan koyak.

Program “Cheer to School” menggunakan dua konsep berbeza dalam menyantuni penerima manfaat mengikut situasi dan lokasi sama ada dengan memberi peluang kepada para pelajar memilih sendiri barangan keperluan persekolahan di pasaraya berhampiran atau dengan membawa barangan sumbangan ke lokasi mereka.

Antara sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program “Cheer to School” tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom, Sabah; Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru; SMK Penarik, Setiu; Sekolah Kebangsaan Mangkok, Terengganu; SMK dan SK Kajang Utama; SMK dan SK Bandar Baru Bangi, SJK (T) Perhentian Tinggi, Sg Gadut, Negeri Sembilan; SMK Desa Wawasan, Tambunan; SK Malubang, Pitas; SMK Pekan, Kota Belud; SMK Ulu Sugut, Ranau, Sabah; SK Kampung Alit; Sekolah Kebangsaan Haji Junid Gerigat dan SK Tanjung Bundung, Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu seramai 645 orang.