Ada mayat masih tak jumpa dalam timbunan

MUSNAH. Hanya satu perkataan yang mampu menceritakan situasi di Kota Marawi. Sejak 23 Mei tahun lalu, sejarah telah mencatatkan bahawa Marawi menghadapi detik-detik sukar ekoran serangan yang dilancarkan oleh kumpulan militan, yakni kumpulan fahaman Islam Radikal. Peperangan itu tercetus disebabkan percubaan tentera Filipina dalam menjejaki seorang pemimpin kumpulan Daesh.

 

Susulan konflik berdarah itu, ia meragut nyawa sekurang-kurangnya 165 tentera dan polis serta 45 orang awam manakala sekitar 300,000 penduduk direkodkan sebagai pelarian. Menurut laporan akhbar tempatan Malaysia iaitu Utusan Malaysia, konflik berkenaan boleh dijangkakan berikutan kawasan persekitaran Mindanao yang ‘subur’ untuk kumpulan militan membina kubu.

 

Selepas insiden itu berlaku, ia telah membuka mata pelbagai masyarakat terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan. Selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengatur langkah proaktif dalam menangani isu-isu kemanusiaan sedunia. Baru-baru ini, IRM bersama Ukhuwah 4 Ummah (U4U) dan barisan selebriti tempatan telah berjaya melancarkan kempen kemanusiaan iaitu Projek Squad Celebrity Global Volunteers yang melibatkan empah buah negara. Secara tidak langsung, Marawi merupakan salah sebuah lokasi yang terlibat dalam projek berkenaan.

 

Sekitar 18 April yang lalu, IRM telah menghantar aktivitis dan skuad untuk menghayati keperihan penduduk di Kota Marawi yang kini diisytiharkan sebagai pelarian. Mohd Ridzuan Othman, salah seorang ahli skuad misi kemanusiaan itu sempat berkongsi pengalaman mengenai keadaan persekitaran di Marawi. Katanya, Marawi merupakan salah sebuah bandar yang diduduki oleh golongan berpendapatan tinggi iaitu para ahli perniagaan dalam sektor pertanian.

 

Setelah ketibaannya di Marawi, perkara pertama yang dipelajari adalah tutur kata yang perlu dijaga sebaik mungkin memandangkan terdapat beberapa larangan perkataan yang perlu dipatuhi seperti nama-nama kumpulan militan dan beberapa perkataan dalam Bahasa Tagalog. “Perkataan-perkataan seperti ini adalah dilarang sama sekali bagi menjaga sensitiviti masyarakat setempat,” jelasnya ketika ditemuramah.

 

Kota Marawi yang dahulunya terkenal dengan bandar Islamik kini terbiar tanpa pengamalan ajaran Islam yang sebenar. Rata-rata pelarian di kawasan itu masih mengamalkan ajaran Islam namun penghayatannya kini kian merosot. Lebih menyedihkan apabila penduduk yang beragama Islam terpaksa mendaftar nama kedua bagi urusan rasmi memandangkan nama Islam kurang diiktiraf.

 

“Kota Marawi sebenarnya dilabel sebagai ground-zero dan Most Affected Area (MAA),” tambahnya. Ia dilabel sedemikian ekoran peperangan yang tercetus tahun lalu. Pada masa kini, kawasan itu dikepungi oleh askar bersenjata dan kereta kebal yang mengawal ketat sepenuhnya. Mengikut laporan berita, kumpulan militan yang terbabit dilihat menjadikan Marawi sebagai konflik antara Islam dan Kristian bagi mendapatkan sokongan komuniti Muslim. Selain itu, kumpulan militan berkenaan mahu ‘membersihkan’ Marawi daripada puak Syiah, Kristian, dan golongan musyrikin. Menurut Ridzuan, masih ada mayat yang tidak dijumpai dalam timbunan.

 

Sungguhpun demikian, skuad misi kemanusiaan Marawi turut berhadapan dengan beberapa ancaman daripada rakyat tempatan. “Kejadian itu berlaku apabila kami selesai solat berjemaah di sebuah institusi. Kami diberitahu bahawa terdapat beberapa orang tempatan cuba mengancam kehadiran kami.” Susulan kejadian itu, aktiviti yang dirancang juga terhenti dan skuad dibawa keluar demi keselamatan masing-masing.

 

Skuad misi kemanusiaan Marawi juga sempat berinteraksi dengan penduduk di kem Bito Buadi Itowa. Kehadiran mereka disambut dengan ‘Song for Marawi’ oleh kanak-kanak tadika. Jelas di wajah anak-anak kecil itu, mereka mahukan sebuah kawasan yang boleh digelar sebagai kawasan perlindungan. Antara isu yang dapat dikenalpasti adalah pendidikan. Sebagai kota berpegang teguh dengan ajaran Islam, penduduk di sekitar kawasan itu merasakan bahawa pendidikan adalah aset terbaik yang perlu dijaga, terutamanya pengajian asas agama Islam memandangkan penghayatannya kurang dipraktikkan.

 

Bagi Ridzuan, dia sebenarnya tidak menyangka keadaan di Marawi boleh dikatakan sama seperti pergolakan di Syria namun puncanya berbeza. Katanya, hanya disebabkan fahaman berbeza, satu negeri pula yang terkesan. Melalui misi kemanusiaan ini, harapan setiap aktivis tidak lain tidak bukan, mereka teguh berganding bahu untuk meyakinkan masyarakat luar mengenai krisis di Marawi yang perlu mendapat perhatian oleh setiap negara.