158 Keluarga Terkesan Pandemik Di Sarawak Terima Bantuan Pek Makanan

SARAWAK, 7 Ogos 2021 – Seramai 158 buah keluarga di Kuching, Bau, Asajaya, Sri Aman, Lundu, Sematan dan Simunjan, Sarawak telah menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia.

Antara keperluan lain yang turut diberikan ialah lampin pakai buang dan susu formula untuk 73 bayi dan lima orang dewasa.

Objektif program ini dijalankan tidak lain untuk meringankan beban penduduk terkesan akibat pandemik COVID-19 secara menyeluruh tanpa mengira apa jua bentuk perbezaan.

“Penerima manfaat B40 dan ke bawah yang terpilih terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kurang upaya (OKU), ibu tunggal juga keluarga bukan Islam.

“Gerak kerja agihan bantuan dijalankan secara berperingkat selama lebih lima hari ekoran kekangan masa dan pergerakan perjalanan yang terhad,” kata Fadhlullah Padil, Pegawai Kanan Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Pelaksanaan edaran bantuan ini dilakukan dengan kerjasama rakan kemanusiaan Islamic Relief Malaysia iaitu Persatuan Orang Cacat Bumiputera Sarawak (POCBUS), Unit Saudara Kita (USK) Cawangan Sri Aman, Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) Cawangan Kuching, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Simunjan, ketua komuniti setempat dan kumpulan sukarelawan.

Rata-rata penerima manfaat menzahirkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan.

Semoga usaha kecil ini dapat menjadi pengubat duka mereka yang sedang diuji untuk terus kuat meneruskan kelangsungan hidup.