Islamic Relief Malaysia laksana Qurban Sabah patuh SOP

SABAH, 1 Ogos – Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah melaksanakan program Qurban Sabah pada 31 Julai dan 1 Ogos sempena Hari Raya Aidiladha.

Sebanyak 48 buah keluarga di Kampung Selamat, Semporna dan 116 buah keluarga di Kampung Meninipir, Keningau telah menerima manfaat agihan daging korban.

Ia membabitkan seekor lembu di Semporna dan dua ekor lembu di Keningau hasil sumbangan para penyumbang melalui Islamic Relief Malaysia.

Selari dengan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), program ini dijalankan di tempat terbuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JHEAINS seperti amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

JHEAINS dalam sesi taklimat pengendalian program korban telah menghadkan penyertaan program ini hanya kepada penduduk kampung dengan jumlah kurang daripada 20 orang yang melibatkan pihak ahli jawatankuasa (AJK) yang berwajib sahaja.

Pegawai Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Fathi Ridhwan Saidin berkata, antara fokus program korban pada kali ini adalah untuk membantu penerima manfaat yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri termasuk penduduk di Kampung Selamat, Semporna.

“Ini adalah kali pertama ada NGO datang secara langsung ke rumah penerima manfaat untuk memberikan agihan daging korban.

“Untuk perancangan yang seterusnya, kami dalam proses merangka program sempena PKPP untuk membantu lebih ramai golongan yang terjejas seperti petani dan kami ingin memulihkan ekonomi mereka. Terima kasih kepada penyumbang dan semoga usaha murni ini dapat diteruskan untuk membantu mereka yg memerlukan,” katanya.

Program ini bermula dengan proses menyembelih, melapah, dan menguruskan potongan daging sebelum diagihkan kepada semua penerima manfaat yang telah dikenalpasti oleh AJK kampung.

Pada tahun ini, Islamic Relief secara keseluruhan melaksanakan ibadah qurban di 31 buah negara termasuk Malaysia dengan jumlah lebih daripada 170,000 bahagian qurban.

Agihan daging korban dari rumah ke rumah ini memberi peluang kepada golongan asnaf untuk menikmati daging korban dalam memenuhi keperluan gizi makanan seharian mereka memandangkan daging lembu mengandungi makronutrien yang terdiri daripada kalori, protein dan lemak selain daripada elemen nutrisi lain seperti zink, zat besi, potassium, magnesium, selenium, vitamin B, K dan D.

Program korban pada kali ini telah berjaya dilaksanakan hasil usaha dan kerjasama kakitangan Islamic Relief Malaysia, rakan kemanusiaan, penduduk setempat dan para sukarelawan.

Islamic Relief Malaysia berharap dengan sokongan para penyumbang akan dapat terus membantu meringankan beban golongan yang memerlukan selain kekal istiqamah dalam memenuhi tuntutan syariat sunat muakkad ini.