IRM Kongsi Rezeki Anjur Qurban Perdana

GUA MUSANG, 12 Ogos – Seramai 300 keluarga dari Kampung Bertam Lama dan Baru, Kampung Dalam Jelekang serta penduduk perumahan penempatan banjir Kampung Jambatan Bengkok, Gua Musang menerima daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Program Qurban Perdana 2019 anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) ini tidak lain bertujuan untuk membantu golongan asnaf selain menjalankan tuntutan ibadat yang disyariatkan sebagai tanda syukur dan cara untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, “Qurban Perdana merupakan acara tahunan yang dijalankan IRM dalam berkongsi rezeki melalui agihan daging korban kepada penerima manfaat hasil penyertaan bahagian korban melalui IRM.

Tambahnya, “Untuk tahun ini ada tiga lokasi yang terlibat dalam pelaksanaan program korban IRM di Malaysia iaitu Gua Musang, Kelantan; Ranau, Sabah dan Simunjan, Sarawak manakala penyertaan korban di luar negara dilaksanakan di 33 buah negara lagi.”

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah menyembelih, mengurus dan mengedar daging korban kepada semua penerima manfaat yang telah dikenalpasti oleh jawatankuasa kampung serta perkongsian tazkirah. Dalam pada itu, kakitangan IRM turut menjalankan aktiviti psikososial sebagai inisiatif merai dan menyantuni anak-anak penerima manfaat.

“Ini kali pertama kami menerima kehadiran organisasi bukan kerajaan (NGO) di kampung kami. Saya mewakili semua penerima manfaat daripada empat buah kampung melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada IRM kerana memilih kawasan penempatan kami untuk menjalankan program korban,” kata Mohd Othman Mustafa, Ketua Kampung Bertam Baru.

IRM berharap program Qurban Perdana ini dapat memberi kegembiraan kepada penerima manfaat yang dirai selain menjadi platform merapatkan ukhwah dikalangan kakitangan dan sukarelawan IRM bersama penduduk setempat.