200 keluarga B40 PPR Desa Rejang Terima Bantuan Pek Makanan

SETAPAK, 20 Disember 2020 – Sebanyak 200 keluarga bumiputera daripada golongan B40 dan ke bawah telah menerima bantuan pek makanan dan kit kebersihan di bawah program ILTIZAM tajaan Ekuiti Nasional berhad (EKUINAS) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur.

Objektif program dijalankan bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kebanyakan penerima manfaat terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, OKU dan ketua keluarga yang hilang punca pendapatan. Kami memilih PPR Desa Rejang ini kerana kepadatan penduduk di sini semuanya hampir 17 ribu orang yang kebanyakannya tiada pendapatan tetap. Di pihak penaja pula, ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial yang sudah lama dilaksanakan dalam membantu mereka yang memerlukan,” Fa’azurah Kadir, Pegawai Kanan, Bahagian Program Islamic Relief Malaysia.

Setiap pek makanan dilengkapi dengan beras 10 kilogram, kicap, sos cili, tepung, bihun, minyak masak, sardin, biskut, gula garam, pelitup muka, pencuci tangan serta pelbagai lagi.

“Penghuni rumah kami semuanya 11 orang. Dahulu, saya bekerja mengasuh anak-anak jiran bagi membantu suami, namun sejak pandemik melanda, ibu bapa mereka tidak lagi menghantar anak-anak mereka untuk saya jaga kerana pendapatan mereka turut terjejas. Sekarang, hanya suami saya sahaja yang bekerja untuk menyara keluarga besar kami.

“Pandemik ini memang memberi impak yang sangat mencabar pada kami sekeluarga. Bil api dan air kadang-kala tertunggak. Dalam keadaan gaji suami yang telah dipotong dan pemberian elaun juga sudah dihentikan, keadaan kewangan keluarga kami memang sangat terjejas. Dari segi makanan, kami memang cuba sedaya upaya untuk berjimat cermat. Alhamdulillah, anak-anak faham keadaan ibu ayah mereka sedang susah sekarang dan mereka tidak merungut walaupun terpaksa makan nasi berlaukkan telur selalu,” kata Sharifah Nor Hayati, penduduk PPR Desa Rejang.

Rata-rata penerima manfaat yang ditemui menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas bantuan yang diberikan. Ucapan terima kasih tidak putus-putus diucapkan daripada mulut mereka.

Islamic Relief Malaysia selaku organisasi pelaksana mengharapkan agar lebih banyak lagi pihak tampil untuk menjalinkan kolaborasi bersama agar keperitan yang ditanggung golongan rentan dapat dikurangkan selain menyemarakkan semangat cakna dan prihatin akan nasib mereka yang memerlukan di sekeliling kita.