YAMAN, 14 Ogos – Hujan lebat yang berterusan bermula Mac lalu telah mengakibatkan banjir besar di beberapa wilayah di Yaman. Situasi ini semakin meruncing sejak akhir Jun dan memuncak pada bulan Julai dan awal Ogos.
Laporan awal menunjukkan hampir 34,260 keluarga terjejas, 57 nyawa terkorban dan 16 lagi cedera.
Banjir tersebut bukan sahaja memusnahkan rumah dan infrastruktur tetapi juga menyebabkan sebahagian periuk api beralih arah dan membahayakan nyawa penduduk.
Sebagai tindak balas kepada krisis yang semakin memburuk ini, Islamic Relief Yemen menyediakan bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas terutama di bandar Sana’a dan Al Hodeidah.
Di Sana’a, Islamic Relief telah mengedarkan 427 tarpaulin kepada 254 keluarga pada 10 hingga 12 Ogos bagi memastikan 1,778 orang mendapat tempat perlindungan sementara.
Di Al Hodeidah, Islamic Relief bekerjasama dengan rakan NGO tempatan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada 511 keluarga di daerah Bait Al Fakih.
Islamic Relief komited untuk membantu penduduk Yaman dalam situasi ini dengan menyediakan bantuan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan tiada penduduk yang terpinggir.