Dalam ketegangan situasi yang berlaku di Gaza, Islamic Relief terus proaktif menyalurkan bantuan dan menyantuni rakyat Palestin.
Terbaharu, kakitangan Islamic Relief bersama rakan kerjasama kami telah menjalankan program Menimba Ilmu Bersama melibatkan kanak-kanak dan remaja di Gaza.
“Alhamdulillah, program ini memberi makna besar buat mereka. Walaupun dalam situasi konflik yang masih belum reda, mereka sangat gembira kerana program ini dapat mewujudkan kembali suasana pembelajaran seperti di sekolah dahulu.
“Berkat sokongan dan sumbangan anda semua, kami dapat merealisasikan projek pendidikan ini meski masih dalam fasa kecemasan,” kata salah seorang kakitangan Islamic Relief Palestine.
Serangan yang dilancarkan ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengakibatkan kira-kira 625,000 kanak-kanak tidak dapat meneruskan persekolahan.
Dalam tempoh 11 bulan ini, lebih 9,500 pelajar meninggal dunia dalam serangan.
Bangunan sekolah yang menjadi tempat perlindungan penduduk setempat turut diserang tanpa belas ihsan.
Lebih 85 peratus sekolah-sekolah di Gaza rosak dan musnah dalam siri pengeboman yang dilancarkan.
Selain bantuan pendidikan, Islamic Relief turut menyalurkan bantuan lain hampir setiap hari merangkumi agihan makanan, air bersih, alatan pembersihan bagi pusat perlindungan sementara, aktiviti psikososial, rawatan perubatan dan suplimen lipid-based nutrient untuk kanak-kanak serta ibu mengandung dan menyusu.
Setakat 30 September, angka korban di Gaza mencecah lebih 41,595 orang, manakala 96,251 lagi cedera.