
Amaran baharu mengenai kebuluran di Gaza yang diumumkan hari ini mendedahkan hakikat yang amat membimbangkan apabila kebuluran digunakan sebagai senjata dalam konflik. Rakyat Palestin bukan sekadar berhadapan dengan kekurangan makanan, tetapi sedang dilaparkan secara sistematik.
Selama lebih dua bulan, semua bentuk bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting telah disekat sepenuhnya daripada memasuki Gaza. Pada masa yang sama, infrastruktur dan sumber penduduk untuk menghasilkan makanan mereka sendiri turut dimusnahkan.
Laporan terbaharu oleh Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 500,000 penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran, dan hanya tindakan tegas daripada masyarakat antarabangsa yang mampu menghentikan bencana ini. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa 93% penduduk Gaza kini mengalami tahap kelaparan dan kekurangan makanan yang amat kritikal.
Kematian akibat kelaparan telah pun berlaku. Petugas kesihatan melaporkan bahawa puluhan nyawa, kebanyakannya kanak-kanak telah terkorban dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Ramai keluarga terpaksa melalui hari demi hari tanpa makanan, malah ada yang terpaksa mencari sisa makanan di longgokan sampah. Harga makanan pula melambung tinggi sehingga di luar kemampuan majoriti penduduk dengan harga tepung gandum meningkat lebih 3000% sejak penutupan lintasan sempadan.
Pengalaman dari pelbagai krisis kemanusiaan terdahulu menunjukkan bahawa pengisytiharan kebuluran secara rasmi sering berlaku terlalu lambat selepas ramai yang telah terkorban akibat kelaparan dan penyakit.
Hakikatnya, krisis ini bukan disebabkan oleh bencana alam atau kekurangan sumber, tetapi hasil daripada keputusan politik yang disengajakan. Trak bantuan yang sarat dengan makanan dan ubat-ubatan kini terkandas hanya beberapa kilometer dari kawasan di mana kanak-kanak sedang kebuluran.
Tiada sebarang justifikasi untuk berdiam diri. Setiap detik yang berlalu di bawah sekatan ini membawa lebih banyak kematian. Masyarakat antarabangsa perlu memberi tekanan dan mendesak pelaksanaan genjatan senjata dengan segera, penamatan sekatan ke atas Gaza dan akses kemanusiaan penuh tanpa halangan.
Cadangan untuk melibatkan elemen ketenteraan dalam proses pengagihan bantuan di Gaza tidak akan menyelesaikan masalah kebuluran, malah berisiko memburukkan keadaan dan menyebabkan lebih ramai kehilangan nyawa. ni bukan pelan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, tetapi satu usaha memperalatkan bantuan sebagai senjata.
Satu-satunya jalan untuk menyelamatkan nyawa ialah dengan menamatkan sekatan ke atas Gaza dan membuka sepenuhnya lintasan sempadan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.