Program U-YES beri impak positif, tingkat taraf hidup dan semangat keusahawanan komuniti PPR Desa Rejang

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dengan kerjasama Takaful IKHLAS General Berhad dan IKHLAS Barakah House telah mengadakan Majlis Penutup Program Unlock Your Entrepreneurship Skills (U-YES) bertempat di Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur bagi meraikan kejayaan peserta-peserta Program U-YES setelah menjalani program selama setahun.

Program U-YES merupakan salah satu inisiatif kehidupan mampan yang dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan komuniti melalui pemerkasaan ekonomi dan pengukuhan hubungan sosial dalam kalangan peserta.

Program yang mendapat tajaan Takaful IKHLAS melalui dana IKHLAS Barakah House (IBH) berjumlah RM271,500 ini dilaksanakan bermula dari Ogos 2024 hingga September 2025 melibatkan penyertaan 10 orang usahawan dari PPR Desa Rejang, Setapak.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Asri Suratman, Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Takaful IKHLAS General Berhad, yang dalam ucapannya berkata, “Program kali ini merupakan kesinambungan kerjasama antara Islamic Relief Malaysia dan Takaful IKHLAS selepas program Gift of Hope di Pulau Pinang.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya meningkatkan pendapatan serta memajukan perniagaan melalui Program U-YES ini.

“Nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam berniaga seperti jujur, amanah dan ikhlas harus kita teladani dan tanamkan dalam diri sebagai usahawan Muslim sejati.

“Saya ingin menekankan bahawa kejayaan seorang usahawan tidak hanya diukur melalui jumlah keuntungan semata-mata tetapi sejauh mana perniagaan itu memberi keuntungan kepada masyarakat di sekitar kita.”

Sementara itu, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia berkata kejayaan program ini membuktikan bahawa pendekatan latihan dan bimbingan menyeluruh mampu membawa perubahan sebenar dalam kehidupan peserta.

“Sepanjang pelaksanaan Program U-YES, kami menyaksikan banyak perubahan positif yang membanggakan. Semua peserta menunjukkan peningkatan pendapatan, dengan separuh daripadanya berjaya menambah lebih 50% pendapatan, dan tiga peserta menggandakan keuntungan mereka.

“Lebih penting lagi, mereka kini lebih yakin, berdikari dan profesional dalam mengurus perniagaan menggunakan platform digital serta pengurusan kewangan yang lebih teratur.”

Beliau turut mengiktiraf peranan penting Takaful IKHLAS, IKHLAS Barakah House dan My Fortitude Synergy yang menjadi tulang belakang kejayaan pelaksanaan program ini melalui bimbingan, latihan serta sokongan menyeluruh kepada peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif My Fortitude Synergy, Lily Sabrina Md Saber, turut menzahirkan rasa bangga terhadap perubahan yang dicapai peserta setelah menjalani latihan selama setahun yang dikendalikannya bersama pasukan.

Dalam ucapannya, “Banyak pengorbanan yang peserta lakukan demi merubah kehidupan. Saya amat berbangga melihat dan mendengar perubahan mereka. Semoga anda semua terus maju dan menjadi usahawan berintegriti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.”

Antara peserta yang diraikan ialah Hairatul Asmah, pengusaha makanan di Wangsa Maju, yang berkongsi kisah kejayaan beliau.

“Program ini sangat membantu menaikkan taraf pendapatan kami sekeluarga. Jika sebelum ini pendapatan harian sekitar RM12 hingga RM30, kini boleh mencecah RM3,000 sehari apabila kami berniaga di acara hujung minggu.”

Melalui pendekatan latihan teknikal dan bimbingan praktikal, Program U-YES bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, malah menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1: Tiada Kemiskinan, SDG 5: Kesaksamaan Jantina, dan SDG 17: Perkongsian Untuk Matlamat.

IR Malaysia akan terus memperkukuh usaha memperkasakan komuniti melalui pelbagai inisiatif kehidupan mampan bagi membantu masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Wan Jemizan W Deraman, Pengerusi IKHLAS Barakah House, Noorazimah Tahir, Naib Presiden dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, MNRB Holdings Berhad dan Siti Fadilah Mohd Hood, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia.