Kekejaman terkini yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza harus menjadi sempadan terakhir bagi pemimpin dunia yang menyokong Israel untuk segera menghentikan semua penjualan senjata kepada Israel, kata Islamic Relief Worldwide. Dalam beberapa jam yang lalu, serangan Israel telah mengakibatkan kanak-kanak dibakar hidup-hidup dalam khemah mereka, kemusnahan ke atas lokasi vaksinasi polio, dan membunuh ibu-ibu yang sedang kelaparan ketika mereka beratur untuk mendapatkan makanan. Pada masa yang sama, keluarga-keluarga di Gaza terpaksa menderita kebuluran di rumah mereka apabila Israel memutuskan semua bekalan makanan dan bantuan lain ke utara Gaza.
Penjualan senjata ini dilihat membantu dan menyokong kekejaman, serta boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang, dan pemimpin mana-mana negara tidak boleh berkomplot dalam menyokong kekejaman ini.
Dengan perhatian global yang semakin beralih dari Gaza, Israel telah meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin di seluruh wilayah tersebut. Di tengah Gaza, pagi ini kanak-kanak telah dibakar hidup-hidup selepas tentera Israel melakukan pengeboman ke atas hospital al-Aqsa di Deir al Balah. Petugas perubatan melaporkan jeritan kesakitan memenuhi udara dan puluhan wanita dan kanak-kanak dengan luka terbakar tahap tiga yang teruk sedang dirawat di hospital akan tetapi mereka tidak mempunyai kelengkapan yang baik. Lebih daripada 1 juta orang kini terperangkap dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dan berbahaya di zon ‘kemanusiaan’ yang kecil di tengah Gaza, antara Deir al Balah dan al Mawasi, dan kini Israel telah memaksa lebih ramai orang ke sana sambil berusaha mengosongkan utara Gaza.
Di Jabalia, utara Gaza, Israel meningkatkan perancangan untuk menggabungkan wilayah dan memaksa rakyat Palestin melarikan diri dengan melakukan pengeboman tanpa henti dan kebuluran yang berterusan. Puluhan orang awam telah terbunuh di sana dalam beberapa hari lalu dan Israel telah memperketatkan kepungan dan menghalang sebarang bekalan makanan baru memasuki utara Gaza selama 2 minggu yang lalu. Pagi ini, serangan bom dilakukan ketika aktiviti pengedaran makanan di Jabalia sedang dijalankan lalu membunuh ibu bapa dan kanak-kanak yang kelaparan ketika mereka beratur untuk mendapatkan sisa makanan.
Walaupun Israel mengarahkan orang di utara untuk bergerak ke selatan, ramai juga penduduk Palestin yang melaporkan telah ditembak oleh penembak tepat Israel ketika cuba untuk menyelamatkan diri. Banyak keluarga kini terperangkap dalam zon pengeboman dan penembak tepat tanpa ada tempat untuk melarikan diri. Namun, orang awam yang tidak meninggalkan Gaza utara tidak hilang hak mereka untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan di bawah undang-undang antarabangsa.
Pengeboman yang semakin meningkat dan pemindahan paksa orang awam telah menyukarkan usaha untuk memberikan vaksin polio kepada kanak-kanak kecil, dengan kesan berpotensi yang boleh dirasai hingga ke generasi akan datang. Pusingan kedua kempen vaksinasi polio dijadualkan bermula hari ini, bertujuan memberikan dos vaksin kedua yang amat penting kepada hampir 600,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Namun, rancangan ini dalam bahaya apabila sekurang-kurangnya satu sekolah yang dijadikan lokasi vaksinasi telah dibom dalam tempoh 24 jam yang lalu, mengorbankan ramai orang awam yang berlindung di situ.
Gaza sedang dimusnahkan di hadapan mata dunia. Walaupun Israel terus menghalang akses media antarabangsa ke Gaza dan melakukan serangan yang menyasarkan wartawan, pemimpin tidak boleh mengatakan bahawa mereka tidak tahu mengenai kekejaman ini. Mereka mesti mengambil tindakan yang lebih berani dan memastikan tindakan perlu diambil di atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang telah dilakukan oleh Israel. Islamic Relief Worldwide menggesa pemimpin dunia untuk menghentikan semua pemberian senjata dan menuntut dengan tegas agar pengilhakan Israel dan pemindahan paksa rakyat Palestin di Gaza utara mesti dihentikan dan mendesak Israel untuk mematuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencegah genosid.