Inspire 2025: Sukarelawan Kanada selami pengalaman kemanusiaan di Malaysia

BANGI, 12 September – Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Program Inspire apabila seramai 21 sukarelawan dari Kanada berkumpul untuk menyertai program kesukarelawanan antarabangsa anjuran Islamic Relief Canada (IR Canada) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bermula 30 Ogos hingga 8 September lalu.

Program yang sudah memasuki edisi keenam di Malaysia sejak 2018 itu menyediakan platform pembelajaran praktikal serta perkongsian budaya merentas sempadan, di samping memberi peluang kepada sukarelawan menyantuni komuniti setempat.

Sepanjang program, para peserta mendekati 60 pelajar pelarian melibatkan 30 pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) serta 30 pelajar Al-Noor Enrichment School melalui pelbagai aktiviti seperti pembelajaran interaktif, permainan, lawatan sambil belajar ke KidZania dan penyediaan keperluan asas. Mereka turut menziarahi rumah keluarga pelajar dan menyampaikan bantuan pek makanan.

Ketua Penyelaras Inspire IR Malaysia, Siti Noradilah Zainal berkata, edisi kali ini memperkenalkan peserta kepada komuniti Orang Asli. Antara aktiviti termasuk lawatan ke Mah Meri Cultural Village di Pulau Carey dan pengagihan 100 pek makanan kepada penduduk di beberapa kampung Orang Asli.

“Walaupun jadual padat, para sukarelawan tetap memberi komitmen penuh. Keikhlasan mereka jelas terlihat ketika berinteraksi dengan kanak-kanak,” katanya.

Pengurus Sukarelawan Antarabangsa IR Canada, Dr. Tarek Faid pula menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan oleh IR Malaysia. “Kanak-kanak di sini benar-benar istimewa. Insya-Allah, kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Seorang sukarelawan, Seerat dari Calgary, Kanada, menyifatkan pengalaman menyantuni pelarian di Malaysia sebagai luar biasa. “Melihat ketabahan mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran benar-benar membuka mata saya terhadap realiti kehidupan mereka. Ia menjadikan saya lebih menghargai nikmat Allah,” katanya.

Selain Malaysia, Program Inspire 2025 turut berlangsung di Bosnia dan Herzegovina, Turkiye, Kosova, Albania, Makkah dan Madinah, Indonesia, Afrika Selatan serta Maghribi.

Banjir Pakistan: Angka korban meningkat, bantuan kemanusiaan mendesak

PAKISTAN, 9 September – Sejak akhir Jun 2025, Pakistan telah berdepan hujan monsun luar biasa yang mencetuskan banjir besar, banjir kilat, hujan lebat setempat serta tanah runtuh di Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, AJK, Gilgit-Baltistan, Sindh dan Islamabad.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), seramai 829 orang telah terkorban dan 1,116 orang cedera, manakala puluhan ribu rumah musnah atau rosak.

Situasi paling kritikal berlaku di Punjab, di mana limpahan sungai Chenab, Ravi dan Sutlej telah menjejaskan hampir dua juta penduduk serta memaksa kira-kira 500,000 orang berpindah.

Lebih 2,200 kampung telah ditenggelami air, manakala pemindahan besar-besaran serta penubuhan lebih 500 pusat perlindungan giat dijalankan.

Sejak awal bencana, Islamic Relief Pakistan telah berada di lapangan dengan menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan ke wilayah-wilayah yang paling teruk terjejas.

Di Punjab, Islamic Relief aktif melaksanakan aktiviti bantuan di Naroval, Jhang, Muzaffargarh, Multan dan Rajanpur, termasuk menguruskan sebuah kem di Muzaffargarh untuk 200 isi rumah, di mana keluarga menerima makanan panas dan bekalan air bersih setiap hari.

Di Khyber Pakhtunkhwa yang mencatatkan jumlah korban paling tinggi iaitu 484 kematian, pasukan Islamic Relief terus menyalurkan bantuan makanan dan barangan bukan makanan ke daerah pergunungan yang terjejas seperti Buner, Shangla dan Swat meskipun berdepan jalan yang rosak serta akses yang sukar.

Sementara itu di Sindh, pasukan Islamic Relief berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila air banjir mula memasuki wilayah tersebut, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa tempatan bagi membuat persediaan tindak balas segera.

Sehingga kini, Islamic Relief telah membantu lebih 22,000 orang dengan bantuan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa. Penilaian awal menunjukkan tahap kemusnahan yang luar biasa, dan Islamic Relief merancang untuk memperluas tindak balasnya bagi mencapai satu juta keluarga (sekitar 7 juta orang) dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, Islamic Relief akan terus menyokong komuniti yang terkesan bukan sahaja melalui bantuan segera, tetapi juga melalui usaha pemulihan jangka Panjang termasuk memulihkan sumber pendapatan, membaiki kediaman, serta memperkukuh daya ketahanan mereka.

Islamic Relief Worldwide lantik Nadeem Malik sebagai CEO Interim

Pelantikan ini bertujuan memastikan kelangsungan pengurusan organisasi sementara proses pelantikan CEO baharu dimuktamadkan oleh Lembaga Pemegang Amanah.

BIRMINGHAM, UK – Islamic Relief Worldwide hari ini mengumumkan pelantikan Nadeem Malik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim, berkuat kuasa mulai Oktober 2025. Pelantikan Nadeem yang kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan Humanitarian Academy for Development (HAD) dibuat susulan tamatnya tempoh perkhidmatan CEO, Waseem Ahmad, pada akhir bulan September.

Pelantikan ini berlaku dalam tempoh peralihan penting, sementara Lembaga Pemegang Amanah melengkapkan proses pemilihan CEO baharu bagi menerajui organisasi kemanusiaan global ini. Dengan pelantikan ini, Nadeem akan mengemudi organisasi berbekalkan pengalaman luas dalam sektor kebajikan, perundangan dan swasta.

Nadeem Malik berkata, “Saya berbesar hati dan teruja untuk bekerjasama dengan rakan-rakan Pengarah dan seluruh warga kerja Islamic Relief dalam meneruskan khidmat cemerlang kami kepada para penerima manfaat. Bersama pasukan yang dedikasi ini, saya bertekad untuk memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan teratur dan lancar sebelum diserahkan kepada CEO baharu yang berkelayakan. Sepanjang tempoh interim ini, saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya sebagai Pengarah Urusan Humanitarian Academy for Development.”

Haroun Atallah, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Worldwide, berkata, “Nadeem membawa pengalaman yang sangat berharga dalam kepimpinan dan pembangunan organisasi yang akan memberi manfaat besar kepada Islamic Relief sepanjang tempoh peralihan ini. Komitmennya terhadap pengukuhan organisasi masyarakat sivil dan pemahaman mendalam tentang sektor ini menjadikan beliau individu yang sesuai untuk mengekalkan momentum organisasi sehingga pelantikan CEO baharu dimuktamadkan.”

CEO, Waseem Ahmad berkata, “Saya amat yakin bahawa Nadeem akan memberikan kepimpinan yang stabil dan kukuh yang diperlukan Islamic Relief sepanjang tempoh peralihan ini. Pengalaman serta nilai-nilai beliau selari sepenuhnya dengan misi organisasi kita, dan saya percaya pasukan hebat kita akan terus menjalankan usaha-usaha menyelamatkan nyawa di bawah bimbingan beliau. Saya kekal komited untuk terus menyokong Islamic Relief sewaktu kita melangkah ke fasa baharu yang penuh harapan ini.”

Waseem Ahmad akan terus memberikan sokongan penuh kepada Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief, CEO interim, serta CEO baharu yang bakal dilantik.

-TAMAT-

Mengenai Islamic Relief Worldwide

Islamic Relief Worldwide adalah sebuah organisasi kemanusiaan dan pembangunan berteraskan kepercayaan agama, yang komited menyokong komuniti rentan yang terkesan akibat kemiskinan, konflik, dan bencana. Ditubuhkan pada tahun 1984, Islamic Relief kini telah berkembang menjadi salah satu organisasi kemanusiaan Islam terbesar di dunia. Pada tahun 2024 sahaja, Islamic Relief telah menyediakan bantuan kepada 17 juta orang di lebih daripada 40 negara.

Gempa bumi Afghanistan, Islamic Relief hantar pasukan kecemasan

Islamic Relief telah menghantar pasukan kecemasan kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan penting kepada penduduk yang terselamat daripada gempa bumi yang berlaku di timur Afghanistan sehingga meragut lebih 600 nyawa dan memusnahkan keseluruhan kampung. Angka korban terus meningkat apabila pasukan penyelamat berjaya menjejak masuk ke lebih banyak kawasan.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 menggegarkan wilayah Kunar sekitar tengah malam waktu tempatan, ketika kebanyakan keluarga sedang lena diulit tidur. Kanak-kanak menceritakan detik cemas apabila mereka terjaga dalam ketakutan, sementara rumah-rumah runtuh di sekeliling mereka. Dalam suasana panik, penduduk bergegas melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa. Keadaan bertambah genting dengan beberapa gegaran susulan yang berlaku sepanjang malam.

Di beberapa daerah, lebih 600 nyawa terkorban manakala lebih 2,500 lagi cedera. Angka ini dijangka terus meningkat apabila maklumat baharu diperoleh. Antara kawasan paling teruk terjejas adalah di pedalaman dan pergunungan, di mana jalan raya banyak terhalang akibat tanah runtuh. Keadaan ini memaksa pasukan penyelamat meredah perjalanan jauh dengan berjalan kaki atau menggunakan helikopter untuk memindahkan mangsa.

Ketua Program Islamic Relief di Afghanistan, Ibrahim Ahmed Alhomadi, berkata: “Keseluruhan kampung di Kunar telah runtuh dan menjadi lumpur. Jumlah korban meningkat setiap jam. Alhamdulillah pasukan Islamic Relief di kawasan terjejas berada dalam keadaan selamat dan kami kini telah menghantar pasukan kecemasan kesihatan untuk menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas. Mereka telah kehilangan segalanya dan amat memerlukan rawatan kesihatan, makanan, air dan tempat perlindungan. Lokasi kejadian adalah di kawasan pedalaman, luar bandar serta bergunung-ganang. Jadi, tanah runtuh dan banjir menyukarkan lagi usaha untuk sampai ke sana. Kebanyakan rumah di kampung ini dibina daripada lumpur atau bahan rapuh yang runtuh sepenuhnya.”

Pasukan Islamic Relief di lapangan kini memberi tumpuan di wilayah Kunar dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan penting termasuk penjagaan ibu dan anak, rawatan kecederaan, sokongan nutrisi serta bantuan menangani trauma.

Kesan gempa bumi ini lebih parah kerana ia berlaku sangat cetek hanya lima batu (8km) di bawah permukaan bumi. Usaha tindak balas turut terjejas akibat banjir besar yang melanda wilayah Kunar dan Nangarhar dua hari sebelum gempa.

Bencana ini berlaku ketika rakyat Afghanistan sedang bergelut dengan masalah kemarau yang meluas, ditambah dengan kesan daripada pengurangan bantuan kemanusiaan global yang menyebabkan penutupan perkhidmatan penting seperti fasiliti kesihatan dan pusat pemakanan.

Perkhidmatan di negara itu juga terbeban dengan kemasukan besar-besaran rakyat Afghanistan yang dipaksa pulang dari Iran dan Pakistan. Lebih 2.4 juta orang telah kembali tahun ini, kebanyakannya dalam keadaan kesihatan yang lemah dan tanpa tempat tinggal. Islamic Relief turut memberi sokongan kepada mereka sebaik sahaja tiba di Afghanistan.

Islamic Relief telah beroperasi di Afghanistan selama lebih 20 tahun. Tahun lalu, Islamic Relief telah membantu lebih 636,000 orang di 20 daripada 34 wilayah negara tersebut, dengan menyediakan bantuan termasuk makanan, nutrisi, kesihatan, pendidikan dan kehidupan mampan.

Di wilayah Kunar dan Nangarhar yang terjejas akibat gempa, Islamic Relief membantu petani meningkatkan hasil pertanian dan menyokong perniagaan kecil untuk berkembang maju. Islamic Relief juga telah menyalurkan bantuan kecemasan akibat gempa bumi di Paktika dan Herat.

Kebuluran di Gaza bukti kegagalan global

Pengumuman rasmi mengenai kebuluran di Gaza hari ini mencatatkan detik yang amat menyayat hati kepada seluruh dunia. Setiap hari, pasukan Islamic Relief di Gaza menyaksikan ramai insan terkorban akibat kelaparan, sementara kanak-kanak semakin lemah dan kurus hingga menampakkan tulang. Sekiranya dunia terus berdiam diri tanpa tindakan segera, lebih banyak nyawa tidak bersalah akan melayang. 

Kebuluran ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya berpunca daripada tindakan Israel yang sengaja membiarkan rakyat Palestin mati kelaparan. Ia sepenuhnya buatan manusia, bermula daripada sekatan kejam dan haram oleh Israel sehingga kegagalan para pemimpin dunia yang berkompromi dengan jenayah perang harian yang dilakukan. Belum pernah dalam sejarah, amaran mengenai kebuluran yang merupakan bentuk kelaparan paling ekstrem dan paling jarang berlaku, diabaikan meskipun ramalan begitu jelas dan langkah pencegahannya begitu mudah. 

Israel telah memusnahkan kemampuan Gaza untuk menghasilkan makanan sendiri, lalu menghalang masuknya bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa. Lebih tragis, penduduk yang kelaparan ditembak ketika cuba mendapatkan makanan untuk anak-anak mereka. Pada masa yang sama, Israel turut menghancurkan sistem kesihatan Gaza, menafikan hak rawatan kepada mereka yang sedang menderita kekurangan zat. 

Beribu-ribu tan makanan, ubat-ubatan dan bantuan penting lain hanya berada beberapa kilometer dari mereka yang kelaparan, namun tetap dihalang daripada sampai kepada yang memerlukan. 

Walaupun imej menyayat hati kanak-kanak kurus kering telah menggegarkan dunia, Israel tetap menggandakan serangan terhadap orang awam, mengetatkan sekatan bantuan, serta berusaha menutup dan menguasai tindak balas kemanusiaan dengan kekerasan tentera. Kanak-kanak kecil menjadi mangsa paling terdedah kepada kelaparan, namun kini pekerja bantuan dan petugas perubatan juga semakin lemah dan tidak bermaya. 

Dalam menghadapi keganasan dan penderitaan tanpa henti, rakyat Palestin di Gaza terus menunjukkan keberanian dan ketabahan luar biasa. Namun, setiap insan ada batasnya terhadap apa yang mampu ditanggung. 

Tiada lagi ruang untuk alasan. Pemimpin dunia mesti segera bertindak menyelamatkan nyawa dan menghentikan genosid. Satu-satunya jalan untuk menghentikan kebuluran daripada terus merebak di Gaza adalah dengan menuntut gencatan senjata serta menekan Israel supaya membuka semula semua lintasan darat sepenuhnya, agar Gaza dapat dibanjiri dengan bekalan mencukupi. Peningkatan kecil dan sementara tidak memadai, ia mesti berskala besar, berterusan, dan disalurkan melalui sistem yang diketuai PBB, yang kini cuba disekat oleh Israel. 

Kata-kata kecaman yang lemah tidak akan membawa sebarang perubahan lagi. Untuk menyelamatkan nyawa, kerajaan mesti mengenakan tekanan ekonomi dan diplomatik yang bermakna, seperti menghentikan semua penjualan senjata, menggantung perjanjian perdagangan, serta mengharamkan perdagangan dan pelaburan dengan penempatan haram Israel. 

Hari Kemanusiaan Sedunia: 68 Organisasi di Yaman seru solidariti dan desak tindakan segera

19 Ogos 2025 – Hari ini, komuniti kemanusiaan di seluruh dunia memperingati Hari Kemanusiaan Sedunia, satu detik penting untuk mengiktiraf peranan luar biasa para petugas bantuan, serta memberikan penghormatan tulus kepada mereka yang telah mengorbankan nyawa atau mempertaruhkan keselamatan demi menyelamatkan orang lain.

Hari ini juga menjadi ruang untuk kita merenung penderitaan jutaan insan yang terperangkap dalam krisis termasuk di Yaman dan memperbaharui komitmen kita bersama untuk melindungi saluran hayat kemanusiaan yang menjadi nadi harapan mereka.

Menjadikan pekerja kemanusiaan sebagai sasaran bukan sahaja melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, tetapi juga merupakan serangan tidak langsung terhadap jutaan orang terjejas yang mereka bantu. Pekerja kemanusiaan mesti dilindungi pada setiap masa dan harus dibenarkan untuk melaksanakan kerja penyelamatan nyawa mereka dengan selamat, tanpa gangguan atau sekatan yang tidak wajar.

Setakat tahun ini, 17 insiden keganasan terhadap kakitangan dan aset kemanusiaan telah direkodkan di seluruh Yaman. Puluhan kakitangan daripada PBB, organisasi bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil masih ditahan secara sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa de facto, kebanyakannya lebih daripada setahun. Komuniti kemanusiaan terus menyeru agar semua pekerja bantuan dilindungi serta pembebasan segera tanpa syarat terhadap rakan sekerja yang ditahan.

Hari Kemanusiaan Sedunia tahun ini tiba pada waktu keperluan kemanusiaan semakin meningkat. Yaman kini menghadapi krisis kelaparan ketiga terbesar di dunia, dengan lebih daripada 18 juta orang dijangka menghadapi ketidakamanan makanan yang parah menjelang September. Kadar kekurangan zat makanan dan wabak penyakit semakin membimbangkan, dengan kesan yang sangat serius kepada kanak-kanak di Yaman.

Risiko perlindungan semakin meningkat, khususnya untuk wanita dan kanak-kanak perempuan, penduduk yang dipindahkan secara dalaman, pelarian, migran, orang kurang upaya serta kumpulan berisiko lain.

Walaupun komuniti kemanusiaan memberi keutamaan kepada tindak balas untuk membantu kelompok paling rentan, perkhidmatan asas yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup wanita, lelaki, kanak-kanak lelaki dan perempuan semakin berkurangan akibat pemotongan dana serta kekangan operasi. Hal ini mewujudkan situasi berbahaya di mana keperluan semakin meningkat pada masa sokongan pula semakin berkurang.

Namun, meskipun berdepan cabaran besar, para pekerja kemanusiaan di Yaman tidak pernah berhenti dan tidak akan menyerah dalam usaha menyelamatkan nyawa serta meringankan penderitaan penduduk di seluruh negara, sambil bekerjasama rapat dengan komuniti yang mereka bantu.

Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 155 organisasi bantuan telah menyalurkan bantuan penting kepada lebih daripada 3.2 juta orang setiap bulan. Bantuan ini merangkumi bekalan air bersih, makanan, penjagaan kesihatan, perlindungan, tempat perlindungan, barangan keperluan asas, serta sokongan dalam bentuk bantuan tunai.

“Ia bukan sekadar satu profesion tetapi lebih daripada itu. Ia adalah satu panggilan untuk melangkah ke tempat-tempat yang sering dilupakan, mendekati mereka yang terpinggir, dan membawa harapan, kelegaan serta memulihkan maruah ketika ia paling diperlukan,” kata Bushra, seorang pekerja bantuan dari Yaman.

Hari ini, kita berdiri bersama semua pekerja kemanusiaan di Yaman dan di seluruh dunia yang berjuang melawan rintangan dan mempertaruhkan nyawa demi berkhidmat kepada mereka yang paling memerlukan.

Masyarakat antarabangsa mesti bangkit dan #ActForHumanity demi melindungi mereka yang berada di lapangan, dan memastikan misi kemanusiaan dapat diteruskan tanpa halangan.