Memperkukuh peranan kemanusiaan, sumbangan Islamic Relief kepada komuniti dunia

Tahun 2024 menandakan satu pencapaian penting bagi keluarga besar Islamic Relief Worldwide (Islamic Relief) apabila organisasi ini meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya pada 17 Januari.

Islamic Relief diasaskan oleh Dr. Hany El-Banna bersama sekumpulan mahasiswa perubatan University of Birmingham, UK pada tahun 1984 sebagai tindak balas terhadap isu kebuluran di Afrika Timur ketika itu.

Hari ini, Islamic Relief telah menjadi antara NGO terbesar di dunia yang menyediakan bantuan kemanusiaan dan pembangunan lestari kepada komuniti memerlukan di lebih 40 buah negara.

Sejak ditubuhkan, Islamic Relief telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam usaha mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kemiskinan dan meringankan penderitaan golongan rentan.

Dari bencana alam hingga ke krisis kemanusiaan, cabaran-cabaran ini sama sekali tidak menghalang Islamic Relief daripada terus menjalankan kerja-kerja bantuan di seluruh dunia dengan penuh dedikasi dan komitmen.

Melalui kerjasama erat dengan komuniti setempat dan sokongan para penyumbang, Islamic Relief tetap teguh menjayakan visi untuk mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan, dan masyarakat bersatu untuk meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

Pengiktirafan Islamic Relief

Hasil usaha keras selama bertahun-tahun, kualiti kerja Islamic Relief telah diiktiraf dan diperakui oleh Piawaian Kemanusiaan Teras (CHS), satu piawaian dan tatakelakuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam sektor kemanusian.

Sehingga kini, Islamic Relief merupakan satu-satunya NGO Islam di UK yang memegang pensijilan itu. Islamic Relief percaya bahawa kelulusan CHS selaras dengan nilai-nilai Islam yang dipegang iaitu Ikhlas, Adil, Rahmah, Amanah, dan Ihsan.

Status Islamic Relief sebagai ahli penuh Piagam Akauntabiliti INGO, penandatangan kepada Tatakelakuan Palang Merah dan pengamal kepada Kod Amalan Terbaik People in Aid menandakan pengiktirafan kecemerlangan Islamic Relief dalam memastikan ketelusan, melaksanakan tadbir urus yang baik dan menjalankan tanggungjawab sosial dalam gerak kerjanya.

Pada tahun 2017, berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh NGO Advisor, Islamic Relief telah tersenarai dalam 20 NGO terbaik daripada 500 NGO terkemuka di dunia. Islamic Relief telah dinilai melalui tiga kriteria berkaitan impak, inovasi dan tadbir urus di dalam kategori kanak-kanak & belia, pemerkasaan ekonomi dan kecemasan; krisis, pelarian, tempat tinggal dan keadilan sosial.

Berdasarkan kepada kepercayaan serta nilai-nilai Islam, Islamic Relief dipandu oleh kerangka Maqasid Syariah yang menekankan kesucian kehidupan dan maruah setiap individu serta hak mereka untuk keselamatan, kesihatan, persekitaran yang mampan, makanan, tempat tinggal, dan air bersih. Pendekatan ini adalah teras kepada gerak kerja Islamic Relief untuk membantu golongan rentan di seluruh dunia.

Empat dekad menabur bakti, keupayaan Islamic Relief untuk mencipta impak positif dalam komuniti yang disantuni telah mendapat kepercayaan daripada para penaja, penyumbang, rakan kerjasama, media, sukarelawan, ikon kemanusiaan dan pihak berkepentingan yang lain.

Komitmen Islamic Relief dalam misi kemanusiaan 2023

Menyoroti tahun 2023, kita menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang menggoncang dunia antaranya gempa bumi di Turkiye, Syria, Maghribi, Afghanistan, banjir besar di Libya dan krisis peperangan di Sudan dan Gaza, Palestin.

Di Yaman, Afghanistan dan negara-negara Tanduk Afrika seperti Somalia dan Ethiopia, isu kebuluran terus membelenggu rakyat. Krisis iklim yang kian memuncak meningkatkan lagi ancaman terhadap penduduk di sesetengah negara.

Bagi Islamic Relief, tahun 2023 merupakan tahun yang paling mencabar dalam memberikan tindak balas terhadap bantuan kecemasan berskala besar seperti gempa bumi dan peperangan di Gaza yang berlarutan sehingga kini.

Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, Islamic Relief terus komited memberikan bantuan tanpa mengira bangsa, agama, atau negara selari dengan prinsip kemanusiaan yang didokong sejak dahulu.

Sumbangan berterusan yang diterima daripada pelbagai pihak membolehkan Islamic Relief menyediakan bantuan dan memberi impak kepada 16.8 juta orang di 39 negara melalui pelaksanaan 827 projek kemanusiaan dan pembangunan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 327 projek bantuan kecemasan telah dilaksanakan sehingga dapat membantu 8.7 juta orang manakala 334 projek pembangunan yang dijalankan pula telah memberi impak kepada 4.6 juta orang.

Bantuan bekalan perubatan untuk hospital dan pusat kesihatan di Gaza, Palestin sejak awal Oktober 2023

Melalui program bermusim, sebanyak 890,000 orang di 32 negara menerima sumbangan pek bantuan Ramadan manakala lebih 3.5 juta orang di 28 negara mendapat bantuan daging korban.

Antara lain, bantuan makanan dan keselamatan memberi manfaat kepada 10.2 juta orang, bantuan sektor air, sanitasi dan kebersihan memberi impak kepada lebih 967,000 orang dan projek penajaan anak yatim telah membantu lebih 91,900 kanak-kanak.

Selain itu, Islamic Relief turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang menghadapi cabaran perubahan iklim, meningkatkan bantuan terhadap penjagaan kesihatan dan keselamatan nyawa, serta mengagihkan bantuan musim sejuk.

20 Tahun Islamic Relief di Malaysia

Bertapak di Malaysia sejak tahun 2004 bagi meneruskan misi bantuan di Rantau Asia-Pasifik, Islamic Relief turut berbangga apabila meraikan ulang tahun ke-20 di Malaysia pada 25 Jun lalu.

Perjalanan selama dua dekad Islamic Relief di Malaysia dihiasi dengan usaha gigih dan keazaman untuk membantu golongan yang terpinggir, memperkasa komuniti, serta mempromosikan keadilan sosial.

Memenangi The BrandLaureate CSR BrandLeadership Award bagi kategori bantuan kemanusiaan pada tahun 2018, pengiktirafan itu memberi impak yang besar kepada Islamic Relief Malaysia, meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan yang dijalankan.

Islamic Relief Malaysia menerima The BrandLaureate CSR BrandLeadership Award bagi kategori bantuan kemanusiaan pada tahun 2018

Biarpun berdepan pelbagai cabaran, ia tidak mematahkan semangat pejabat cawangan itu untuk terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia dan juga penduduk di beberapa buah negara yang lain.

Bagi tahun 2023 sahaja, Islamic Relief telah memberi bantuan dan merubah kehidupan 49,178 penerima manfaat di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, program bantuan Ramadan mencatatkan jumlah tertinggi bantuan yang memberi manfaat kepada 42,556 orang di seluruh semenanjung, Sabah dan Sarawak. Antara bantuan yang diagihkan ialah pek makanan, baucar tunai, barangan keperluan asas dan baju raya.

Islamic Relief turut memberikan bantuan kecemasan pasca banjir dan kebakaran kepada 3,195 orang di Johor, Sabah dan Sarawak.

Bagi sektor pendidikan pula, 620 orang pelajar dan ahli keluarga mendapat manfaat daripada projek Cheer to School (CTS) dan INSPIRE yang dijalankan.

Islamic Relief turut berperanan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan menjalankan projek kehidupan mampan bagi menambah sumber pendapatan keluarga. Sebanyak 1,057 mendapat impak daripada pelaksanaan projek Gift of Hope (GOH) di Pulau Pinang, Growth Entrepreneurship Assistance Programme (GRAP) di Selangor dan agihan sumbangan bantuan tunai di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak.

Melalui bantuan sektor makanan dan nutrisi, Islamic Relief telah mengagihkan bantuan makanan yang memberi manfaat kepada 1,750 orang di Sabah dan Sarawak.

Misi global Islamic Relief Malaysia

Untuk bantuan di peringkat antarabangsa, daripada dana sumbangan orang ramai melalui pejabat Malaysia, Islamic Relief memberi fokus kepada empat sektor bantuan iaitu kecemasan, kehidupan mampan, air, sanitasi dan kebersihan serta program bermusim sehingga berjaya membantu lebih 53,994 orang dengan pelaksanaan 9 projek.

Islamic Relief telah memberi tindak balas kecemasan terhadap krisis kemarau di Somalia dengan menjalankan projek yang memberi manfaat kepada 900 orang.

17,465 orang pula mendapat manfaat melalui sektor kehidupan mampan dengan pelaksanaan projek ternakan dan pertanian di Syria serta projek bantuan anak yatim di Indonesia.

Di Somalia dan Bangladesh, pembinaan kompleks sistem bekalan air dan telaga tiub telah memberi sinar baharu buat 3,780 penduduk kerana mereka dapat mengakses dan menikmati sumber air bersih dengan lebih mudah.

Selain itu, bagi program bermusim, 12,225 orang menerima sumbangan pek makanan Ramadan, 18,802 orang menerima bantuan pek daging korban dan 665 orang menerima bantuan musim sejuk.

157 anak yatim juga mendapat manfaat melalui projek Penajaan Al-Yateem oleh penyumbang dari Malaysia.

Islamic Relief komited tabur bakti

Salah seorang penerima manfaat projek Sustainable Livelihoods of Rural Women Through Micro-Entrepreneurship Development (SEED) tajaan Islamic Relief Malaysia di Pirgacha, Rangpur, Bangladesh

Selama 40 tahun beroperasi, walaupun menghadapi cabaran dan kesulitan, biarpun jarak bantuan jauh beribu batu, walau apapun bentuk kecemasan yang terjadi, Islamic Relief terus menabur khidmat dan tetap bersedia menghulurkan bantuan demi memastikan bantuan kemanusiaan tiba kepada mereka yang memerlukan.

Islamic Relief Malaysia pula kekal komited untuk terus melaksanakan projek-projek kemanusiaan yang bermakna dan berimpak tinggi bagi tahun 2024. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk penyumbang, sukarelawan, dan komuniti terlibat, Islamic Relief tekad untuk membawa perubahan positif kepada mereka yang memerlukan.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Islamic Relief berhasrat untuk mencapai 3 objektif utama; menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan terhadap krisis kemanusiaan, memperkasa komuniti untuk menangani kemiskinan dan penderitaan, serta menyokong perubahan sistem bagi menghapuskan punca kepada ketidaksamaan global dan tempatan.

Terima kasih kepada semua yang bersama Islamic Relief sepanjang tempoh ini dalam mencipta dunia yang lebih baik dan lebih adil buat semua.