Sekurang-kurangnya 2,141 orang terkorban, manakala 10,099 lagi cedera berikutan ketegangan yang memuncak di Lubnan dengan serangan paling dahsyat pada 23 September 2024.
Lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian di dalam negara sendiri.
Lebih 400,000 orang dikatakan telah melarikan diri ke Syria.
Serangan berbalas antara kedua pihak bertelagah dijangka meningkat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dalam laporan berita Xinhua, menyatakan kebimbangannya bahawa konflik yang semakin meruncing dan serangan berterusan mungkin menyebabkan Lubnan menghadapi nasib yang sama seperti Gaza.
Lebih 77 kawasan kampung dan bandar di Selatan Lubnan diarahkan berpindah, namun serangan udara tetap terus dilancarkan.
Kini, ratusan ribu orang berlindung di kawasan sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara, namun ia tidak cukup untuk menampung keseluruhan jumlah penduduk yang terjejas.
Keadaan menjadi sesak dan padat, hingga ada yang terpaksa tidur di luar bangunan sekolah atau taman permainan.
Lebih 100 orang berkongsi satu tandas dan ada yang tiada kemudahan bilik mandi.
Dianggarkan 100,000 orang terpaksa tidur di jalanan, selain berlindung di dalam khemah yang didirikan di kawasan pantai.
Setakat 10 Oktober 2024, Islamic Relief Lubnan telah mengedarkan 11,737 pek makanan, 500 pek daging, 2,273 kit kebersihan, 1335 selimut dan tilam serta 17,609 alatan perubatan bagi membantu penduduk terjejas di Lubnan.