Ketegangan India-Pakistan semakin meningkat: Islamic Relief sedia berikan bantuan

Islamic Relief bersedia untuk memberikan bantuan kemanusiaan susulan peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan. Sekiranya berlaku eskalasi ketenteraan yang lebih besar, ia berkemungkinan memberi kesan yang dahsyat kepada sejumlah besar orang awam.

Puluhan orang termasuk kanak-kanak telah terbunuh dan cedera dalam beberapa hari kebelakangan ini akibat pertempuran paling hebat yang pernah berlaku di rantau tersebut dalam tempoh beberapa tahun. Serangan udara, pengeboman dan penggunaan dron telah merosakkan infrastruktur di kedua-dua belah Garisan Kawalan (Line of Control), dan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak terbunuh apabila sebuah peluru berpandu merosakkan sebuah masjid di Bahawalpur, wilayah Punjab di timur Pakistan.

Petugas Islamic Relief di Kashmir yang ditadbir Pakistan melaporkan bahawa puluhan keluarga telah meninggalkan rumah mereka dan mencari perlindungan di sekolah-sekolah yang telah dijadikan sebagai kem sementara oleh pihak berkuasa tempatan. Jumlah pelarian dijangka meningkat sekiranya keadaan semakin meruncing, dan pertambahan mendadak jumlah mangsa dan pelarian akan menambah beban perkhidmatan asas seperti hospital, tempat perlindungan sementara, dan bekalan air. Sekolah di banyak kawasan telah ditutup untuk tempoh yang tidak ditentukan, dan hospital di seluruh Pakistan telah mengisytiharkan darurat.

Ketika ketegangan politik semakin meningkat, para petani memberi amaran bahawa penggantungan Perjanjian Air Indus antara India dan Pakistan akan memberi kesan besar kepada sektor pertanian serta akan memburukkan lagi masalah kemiskinan dan kelaparan. Penggantungan perjanjian tersebut telah memutuskan bekalan air kepada kira-kira 80% kawasan pertanian beririgasi di Pakistan, yang menjadi sumber kehidupan utama kepada ramai keluarga miskin.

Pasukan tindakan kecemasan Islamic Relief Pakistan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan bagi menyokong penyediaan bantuan kecemasan termasuk tempat perlindungan, air, kit kebersihan dan selimut sekiranya berlaku pemindahan berskala besar.

Kesan kemanusiaan akibat sebarang eskalasi seterusnya dijangka amat besar. Kami menyeru agar usaha diplomatik segera dilaksanakan untuk meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian melalui dialog politik dan bukannya tindakan ketenteraan.