Jutaan penduduk Bangladesh terjejas akibat banjir

BANGLADESH, 21 Jun – Kira-kira 1.6 juta orang di daerah Sylhet, Sunamganj dan Moulvibazar terjejas akibat hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku dalam tempoh tiga hari lalu.

Islamic Relief bertindak menghulurkan bantuan kecemasan susulan kejadian banjir yang memusnahkan timur laut Bangladesh itu sehingga menenggelamkan penempatan dan menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Hampir 75% daerah Sylhet kini dinaiki air, dengan lebih separuh daripada tanaman dan kawasan pertanian tenggelam.

“Banyak keluarga, termasuk kanak-kanak kecil dan warga emas, kini tidur di tempat terbuka di tepi jalan, dengan hanya menggunakan plastik untuk melindungi mereka daripada hujan lebat.

“Rumah mereka telah dihanyutkan dan mereka sangat memerlukan makanan, tempat tinggal, dan bantuan lain,” kata Enamul Haque, Pengurus Program Islamic Relief Bangladesh.

Walaupun operasi Islamic Relief sedikit terjejas setelah salah satu pejabatnya ditenggelami banjir, Islamic Relief tetap membuat persiapan untuk mengedarkan makanan kering, kit kebersihan dan baucar tunai sebagai bantuan awal kepada 5,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.

Kira-kira 30,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan di Sylhet dan Sunamganj dan angka ini djangka meningkat dari masa ke masa.

Secara keseluruhan, 825,000 orang telah terjejas di Sylhet, 650,000 di Sunamganj, dan 193,000 di Moulvibazar. Banjir itu dijangka berterusan untuk tempoh beberapa minggu akan datang berikutan aliran air hulu dari India.