BANGI, 14 Mei 2024 – Dalam usaha untuk meningkatkan gerak kerja kemanusiaan, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu majlis yang diadakan di pejabat IR Malaysia.
Pemeteraian MoU itu disempurnakan oleh Datuk Nur Iskandar A Samad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia dan Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, sambil disaksikan oleh Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, dan Anizam Hj. Ali, Timbalan Pengarah Kanan, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM.
Perjanjian tersebut menandakan usaha kerjasama yang bertujuan untuk meningkatkan aktiviti kemanusiaan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UIAM di Kampus Gombak serta kampus-kampus lain.
Datuk Nur Iskandar menekankan bahawa IR Malaysia berbesar hati dapat menjalin kerjasama strategik bersama UIAM dalam memperkasa komuniti dan meringankan penderitaan golongan memerlukan.
“Kolaborasi bersama UIAM ini merupakan satu peristiwa penting dalam misi IR Malaysia untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan. Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber yang ada, insya-Allah, kita boleh menyumbang lebih kepada masyarakat dan mencapai impak yang lebih berkesan.
“Saya percaya, jalinan kerjasama strategik ini akan membantu pelajar dan kakitangan UIAM dalam membentuk sahsiah dan menjadi individu yang mempunyai sifat keprihatinan yang tinggi.
“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kisah realiti kehidupan masyarakat dan berpeluang mengumpul pengalaman berharga agar mereka dapat mendalami dan memahami makna kemanusiaan yang sebenar,” katanya.
Sebagai organisasi yang berpengalaman dalam kerja amal dan kemasyarakatan, IR Malaysia menjangkakan kerjasama ini akan membuka jalan bagi pelbagai program dan projek bersama. Ini termasuk pembangunan pelajar, perkongsian penyelidikan akademik, dan penglibatan pelajar dalam aktiviti sukarelawan dan kempen kesedaran.
UIAM proaktif dalam melibatkan pelajarnya dengan komuniti tempatan dan global, dengan matlamat memastikan pertumbuhan mampan dan mempromosikan konsep Rahmatanlil Alamin. Universiti ini memperjuangkan konsep Komuniversiti, menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar pembelajaran di kelas dan mereka bertanggungjawab menyumbang kembali kepada masyarakat.
Sejak 2011, IR Malaysia dan UIAM telah bekerjasama dalam pelbagai inisiatif, termasuk lawatan ke kampung Orang Asli, ekspo kemanusiaan, teater Lelaki Dari Dhaka, Malam Kemanusiaan, Misi Kemanusiaan Lombok, dan Larian Amal Belon Air, antara lain.
Acara bersejarah ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan, pegawai kanan, dan sukarelawan dari kedua-dua organisasi.