Gempa bumi Myanmar: Islamic Relief salur dana, bersiap sedia bertindak susulan angka kematian meningkat

Islamic Relief bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan Thailand.

Gempa berkekuatan 7.7 magnitud itu berlaku di tengah Myanmar, berhampiran bandar Mandalay, pada awal pagi Jumaat, 28 Mac, sebelum disusuli gegaran susulan berkekuatan 6.4 magnitud tidak lama kemudian.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 144 orang terkorban dan lebih 700 lagi cedera di Myanmar, namun angka sebenar dijangka lebih tinggi. Mandalay dilaporkan mengalami kemusnahan besar, termasuk runtuhan sebuah bangunan lima tingkat dan sebuah jambatan. Beberapa individu turut dilaporkan terkorban ketika sedang bersolat apabila sebuah masjid runtuh.

Sejauh 900 kilometer dari pusat gempa, di ibu negara Thailand, Bangkok, sebuah bangunan tinggi yang masih dalam pembinaan runtuh menjadi puing.

Sehingga kini, skala penuh kemusnahan masih belum dapat dipastikan berikutan gangguan komunikasi yang menyukarkan usaha penilaian. Keadaan juga masih belum stabil dengan gegaran susulan dijangka terus berlaku.

Misi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Myanmar telah mengisytiharkan darurat dan meminta bantuan antarabangsa, manakala Bangkok diisytiharkan sebagai ‘zon bencana’.

Bantuan Islamic Relief

Islamic Relief kini bekerjasama dengan agensi-agensi UK serta organisasi tempatan untuk menilai tahap bencana dan keperluan mangsa yang terjejas.

Dana telah diperuntukkan untuk respons awal, yang akan digerakkan sebaik sahaja keperluan utama dikenal pasti dan akses ke kawasan terjejas disahkan.

Bencana ini berlaku dalam keadaan mencabar, dengan banyak organisasi kemanusiaan di Myanmar terkesan akibat pemotongan dana. Myanmar juga dikenakan sekatan, namun pengecualian kemanusiaan tetap berkuat kuasa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, populasi Mandalay meningkat dengan ketara akibat perpindahan penduduk yang melarikan diri daripada konflik di bahagian lain Myanmar.

Bantu Islamic Relief memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan. Sumbangkan ke tabung Kecemasan Antarabangsa sekarang.