Banjir besar di Valencia ragut lebih 200 nyawa, ribuan lagi berdepan situasi genting

VALENCIA, 14 Nov – Ribut DANA yang melanda timur Valencia pada 30 Oktober telah menyebabkan banjir besar dan meragut 223 nyawa, menjadikannya bencana terburuk di rantau ini dalam tempoh beberapa dekad.

Pasukan penyelamat terus melakukan kerja mencari dan menyelamat, sementara penduduk yang terselamat pula berdepan situasi sukar akibat kekurangan elektrik dan terputus bekalan keperluan asas seperti makanan, air, pakaian, selimut, barangan kebersihan, bekalan bayi, dan bantuan pembersihan.

Valencia telah melanjutkan penutupan sekolah dan menutup pusat sosial, taman, tanah perkuburan, dan kemudahan sukan untuk memastikan keselamatan awam.

Keputusan ini dibuat oleh Pusat Penyelarasan Kecemasan Perbandaran (Cecopal) susulan amaran daripada Agensi Meteorologi Sepanyol, memandangkan ribut DANA dijangka terus merebak, menjejaskan kawasan Alicante, Castellón, dan kini menghampiri Malaga di selatan.

Kebimbangan mengenai kesihatan awam juga meningkat apabila dua kes leptospirosis berkait dengan air banjir disahkan berlaku. Pihak berkuasa sedang memantau dengan teliti untuk kes-kes lain disebabkan risiko pencemaran.

Islamic Relief (IR) Spain giat membantu dengan mengedarkan bekalan penting seperti makanan, air, barangan kebersihan, dan alatan pembersihan di kawasan terjejas seperti Paiporta.

Mereka juga telah menggerakkan 100 sukarelawan pada hujung minggu untuk membantu membersihkan jalan dan rumah serta menghantar makanan halal kepada keluarga yang terjejas.

Buat masa ini, IR Spain telah memperuntukkan €50,000 untuk membantu penduduk terjejas dan memantau keadaan semasa di Malaga.