Bayangkan jika setiap kali ingin memasak, membancuh susu anak atau mandi, anda perlu menempuh perjalanan hampir 80 kilometer hanya untuk mendapatkan air.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan itu mungkin sukar dibayangkan. Namun bagi Nadiya, seorang suri rumah berusia 39 tahun di Somalia, itulah realiti yang terpaksa dihadapinya selama bertahun-tahun. 
Nadiya tinggal bersama suami, anak-anak, ibu serta anak-anak saudaranya dalam sebuah rumah usang yang memuatkan 11 orang.
Suaminya yang bekerja sebagai guru sekolah merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga. Pendapatan yang diterima hanya cukup untuk menampung keperluan asas seperti makanan, persekolahan dan rawatan kesihatan, namun sering kali tidak mencukupi.
Apa yang lebih membebankan mereka ialah masalah untuk mendapatkan air bersih.
Telaga air yang merupakan sumber air utama di kampung mereka telah runtuh. Akibatnya, keluarga Nadiya terpaksa melakukan perjalanan sejauh 80 kilometer ke kampung berhampiran semata-mata untuk mendapatkan bekalan air ataupun membeli air daripada lori tangki dengan harga yang sangat tinggi, mencecah lebih RM400 bagi setiap tong.
Air yang sepatutnya menjadi keperluan asas bertukar menjadi satu kemewahan yang tidak mampu dimiliki.
“Sebelum ini, kehidupan di kampung kami sangat sukar. Mendapatkan air mengambil masa yang sangat lama, menelan kos yang tinggi dan amat memenatkan. Keadaan itu menjejaskan kehidupan harian kami, malah kesihatan serta pendidikan anak-anak juga sering terabai,” kongsi Nadiya.
Jutaan Penduduk Hidup Dalam Keterdesakan
Bagi kebanyakan kita, membuka paip dan mendapatkan air bersih hanyalah rutin harian. Namun di Somalia, akses kepada air bersih menentukan sama ada sesebuah keluarga dapat memasak, menjaga kebersihan diri, menghantar anak ke sekolah atau mencari rezeki.
Kemarau yang berpanjangan, perubahan iklim serta kekurangan infrastruktur menyebabkan jutaan penduduk Somalia masih bergantung kepada sumber air yang tidak selamat atau terpaksa menempuh perjalanan jauh setiap hari.
Atas sebab itu, Islamic Relief Malaysia melalui Dana Wakaf Sistem Air terus melaksanakan projek-projek bekalan air bersih di kawasan yang paling memerlukan. Fokusnya bukan sekadar membina telaga, tetapi menyediakan sistem bekalan air yang mampu berfungsi untuk jangka panjang dan diurus sendiri oleh komuniti.
Kehidupan Nadiya Berubah Selepas Pelaksanaan Projek Wakaf Air
Melalui projek Reliable Water for Somalia (RWAS III), telaga air di kampung Nadiya berjaya dipulihkan dan sumber air dapat digunakan secara maksimum.
Hari ini, keluarganya tidak lagi perlu menghabiskan masa berjam-jam mencari air.
Bekalan air bersih kini tersedia untuk kegunaan harian Nadiya sekeluarga. Wang yang sebelum ini dihabiskan untuk membeli air dapat digunakan untuk keperluan keluarga, manakala anak-anak dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran tanpa perlu dibebani untuk mendapatkan air.
Lebih menggembirakan, perubahan itu bukan hanya dirasai oleh keluarganya, malah seluruh komuniti.
“Kini kami mendapat air bersih setiap hari. Kehidupan menjadi lebih mudah, tekanan semakin berkurangan dan kesihatan keluarga juga bertambah baik. Terima kasih kepada semua yang menjayakan projek ini,” ujar Nadiya penuh syukur.
Kisah Nadiya hanyalah satu daripada ribuan kisah yang membuktikan bagaimana wakaf air mampu mengubah kehidupan manusia.
Pelaksanaan Projek Wakaf Air Bersih di Somalia
Sejak 2018, Islamic Relief Malaysia telah melaksanakan pelbagai projek bekalan air di beberapa wilayah Somalia bagi memastikan lebih ramai keluarga menikmati akses kepada air bersih:
2018 | Water Wells in Balcad, Somalia (WEBS)
- Pembinaan 2 Kompleks Bekalan Air
- Memberi manfaat kepada 60,000 penduduk
2020 | Water Wells in Nugaal, Puntland (WIN)
- Pembinaan 2 Kompleks Bekalan Air
- Menyediakan latihan kepada 20 AJK Pengurusan Air
- Memberi manfaat kepada 10,000 penduduk
2022 | Water Intervention & Recovery for Somalia (WARES) 
- Pembinaan sistem bekalan air mini berkuasa solar di Daerah Boidoa, Wilayah Bay
- Pembinaan 2 kiosk air lengkap dengan 6 pili air
- Memberi manfaat kepada 3,000 penduduk
2024 | Improved Safe Water Access for Affected People in Somalia (SWAAP)
- Projek air bersih di Daerah Garowe dan Beledweyne
- Membaik pulih 1 Kompleks Bekalan Air dan 1 Telaga Air
- Pembinaan sistem solar, tangki air dan 4 kiosk air
- Pemasangan 2 saluran paip ke penempatan komuniti
- Menyediakan Latihan kepada 14 AJK Pengurusan Air
- Memberi manfaat kepada 6,250 penduduk
2025 | Reliable Water for Somalia (RWAS III)
- Pembinaan 1 telaga air dan 2 tangki simpanan air di Daerah Badhan
- Menyediakan Latihan kepada 14 AJK Pengurusan Air
- Memberi manfaat kepada 6,800 penduduk
Manfaat Berpanjangan
Ramai menyangka wakaf air hanya melibatkan pembinaan telaga. Hakikatnya, setiap projek memerlukan sistem yang lengkap supaya bekalan air dapat dinikmati dalam tempoh yang panjang.
Setiap Kompleks Bekalan Air yang dibangunkan di Somalia bukan sekadar menyediakan sumber air, tetapi dilengkapi dengan sistem lengkap merangkumi pam berkuasa solar, tangki simpanan air, rangkaian paip, kiosk agihan serta latihan kepada komuniti agar mereka mampu mengurus dan menyelenggara kemudahan ini untuk jangka panjang.
Pendekatan ini memastikan setiap projek bukan sahaja berfungsi pada hari pertama, malah terus memberi manfaat bertahun-tahun selepas ia disiapkan.
86,050 Penduduk Telah Menikmati Manfaat Air Bersih
Hasil pelaksanaan projek-projek ini, lebih 86,000 penduduk Somalia kini mempunyai akses kepada air bersih.
Impaknya jauh lebih besar daripada sekadar menyediakan air minuman. Ia membantu mengurangkan risiko penyakit bawaan air, menjimatkan masa wanita dan kanak-kanak yang sebelum ini perlu berjalan jauh mendapatkan bekalan air, meningkatkan tahap kebersihan keluarga serta membolehkan komuniti menjalani kehidupan dengan lebih selamat dan bermaruah.
Wakaf Untuk Jariah Berpanjangan
Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membina sebuah telaga atau memasang paip air.
Ia mengurangkan beban seorang ibu seperti Nadiya.
Ia memberi peluang kepada seorang kanak-kanak untuk ke sekolah tanpa perlu menghabiskan waktu pagi mencari air.
Ia membolehkan sebuah keluarga menikmati kehidupan yang lebih sihat dan bermaruah.
Masih ramai keluarga di Somalia yang menanti saat mereka dapat membuka pili dan menikmati air bersih buat pertama kali.
Berwakaflah bersama Dana Wakaf Sistem Air Islamic Relief Malaysia hari ini. Bersama-sama, kita bukan sekadar menyalurkan air, tetapi menghidupkan harapan untuk generasi akan datang.

