Islamic Relief Bantu 900 Keluarga Bangkit Selepas Banjir Aceh
Banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Indonesia pada penghujung tahun 2025 hingga awal 2026 telah mengakibatkan kemusnahan besar kepada ribuan penduduk. Hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras air meningkat sehingga melebihi lima meter di beberapa kawasan, menghanyutkan rumah, sekolah dan kemudahan awam.
Ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal, manakala jalan raya serta jambatan yang rosak menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan kemanusiaan. Dalam keadaan ini, ramai mangsa bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada organisasi kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Krisis Banjir Aceh Menjejaskan Ribuan Penduduk
Bencana yang berlaku di beberapa wilayah di Aceh meninggalkan kesan yang amat besar kepada masyarakat setempat.
Antara impak utama yang dialami ialah:
- Rumah, sekolah dan bangunan komuniti musnah akibat banjir dan tanah runtuh.
- Jalan raya serta jambatan runtuh menyebabkan banyak kawasan terputus hubungan.
- Bekalan makanan dan air bersih menjadi semakin sukar diperoleh.
- Harga makanan serta keperluan asas meningkat sehingga hampir tiga kali ganda di sesetengah kawasan.
- Penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan penyakit kulit mula meningkat akibat kekurangan sanitasi.
- Bayi, kanak-kanak, wanita hamil, ibu menyusu, warga emas dan orang kurang upaya merupakan antara golongan yang paling terjejas.
Di kawasan pertanian pula, lebih 107,000 hektar sawah dilaporkan rosak, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan dan bekalan makanan penduduk.
Bantuan Islamic Relief kepada Mangsa Banjir Aceh
Bagi mengurangkan penderitaan penduduk terjejas, Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Islamic Relief Indonesia melaksanakan projek Aceh Flood Emergency Response (AFER) sebanyak 3 fasa bagi memberi tumpuan kepada bantuan kecemasan, keperluan asas dan penyediaan tempat perlindungan sementara.
Sepanjang pelaksanaan projek, seramai 900 keluarga menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk:
1. Tempat Perlindungan Sementara (Emergency Shelter)
Sebanyak 497 keluarga menerima tarpaulin berkualiti tinggi sebagai tempat perlindungan sementara, manakala 6 unit rumah sementara dibina khas untuk keluarga yang paling rentan seperti warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil dan orang kurang upaya.
Menariknya, sebahagian rumah dibina menggunakan kayu yang dihanyutkan banjir sebagai satu pendekatan pemulihan yang lebih lestari.
2. Bantuan Makanan
Islamic Relief turut mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga terjejas melalui beberapa fasa bantuan kecemasan.
Antara bantuan yang diagihkan:
- Bekalan makanan kecemasan
- 50 pek makanan
- 64 pek iftar
- 3 ekor lembu untuk kegunaan dapur komuniti
- Bekalan Air Bersih & Kit Kebersihan
Bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan air, selain agihan kit kebersihan, 3 tangki air bersih juga ditempatkan di lokasi strategik yang mudah diakses oleh komuniti.
Inisiatif ini membantu penduduk menjaga kesihatan dan keselamatan diri di samping mendapatkan sumber air yang selamat untuk diminum serta digunakan bagi keperluan harian.
Islamic Relief turut mendapat kerjasama daripada Tentera Laut Indonesia dan Palang Merah Indonesia untuk penghantaran barangan bantuan melalui laluan laut memandangkan banyak jalan raya rosak dan tidak boleh dilalui.
Kerjasama ini membolehkan bantuan sampai kepada komuniti yang terperangkap lebih cepat.
Impak Bantuan kepada Mangsa Banjir 
Pelaksanaan projek AFER telah membawa perubahan yang signifikan kepada komuniti yang terjejas.
Antara impak yang dicapai ialah:
- Beberapa keluarga mempunyai tempat perlindungan sementara yang lebih selamat
- Risiko penyakit bawaan air dapat dikurangkan melalui akses kepada air bersih
- Penduduk mendapat makanan hasil penyediaan dapur komuniti
- Komuniti bergotong-royong membina rumah sementara bagi membantu keluarga memerlukan
- Operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan pantas kerana persediaan awal stok bantuan
- Tiada kes penyakit serius direkodkan sepanjang intervensi dijalankan.
Bantuan ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas penduduk yang terkesan, malah membantu memulihkan maruah, keselamatan dan semangat komuniti untuk membina semula kehidupan selepas bencana.
Hulurkan Bantuan Melalui MySedekah
Bencana alam boleh berlaku tanpa diduga dan memberi kesan yang besar kepada kehidupan mangsa. Sokongan daripada orang ramai amat penting bagi memastikan lebih ramai keluarga menerima bantuan kecemasan pada saat mereka paling memerlukannya.
Melalui kempen MySedekah, anda boleh membantu menyediakan makanan, air bersih, tempat perlindungan sementara serta keperluan asas kepada mangsa bencana di seluruh dunia.
Setiap sumbangan anda mampu membawa harapan baharu kepada mereka yang sedang berdepan saat paling sukar dalam kehidupan.

