MALAWI, 1 April 2026 – Hujan lebat berterusan antara 15 hingga 19 Mac telah mencetuskan banjir besar di beberapa daerah termasuk Daerah Chikwawa yang paling teruk terjejas.
Di Chikwawa, peningkatan paras air di Sungai Shire dan Sungai Mwanza telah mengakibatkan kehilangan nyawa, perpindahan keluarga, kemusnahan rumah, serta gangguan kepada laluan akses utama.
Jalan Chikwawa–Nsanje di Bereu Trading Centre masih tidak boleh dilalui, sekali gus mengehadkan akses bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas.
Keperluan mendesak di lapangan termasuk tempat perlindungan sementara seperti kanvas (tarpaulin), khemah dan helaian plastik, selain bantuan makanan seperti tepung jagung, kacang, minyak masak, garam dan gula.
Keluarga yang terjejas juga memerlukan barangan keperluan asas bukan makanan seperti peralatan dapur, selimut, kelambu, sabun, klorin serta tandas kecemasan. Sokongan air, sanitasi dan kebersihan (WASH), khususnya bantuan sanitasi dan rawatan air, turut amat diperlukan.
Usaha respons oleh Islamic Relief sedang giat dijalankan. Pasukan Tindak Balas Kecemasan sedang melaksanakan penilaian keperluan lanjut dengan kerjasama Malawi Red Cross Society (MRCS), serta menyertai penilaian antara agensi yang diketuai oleh Department of Disaster Management Affairs (DoDMA) bersama rakan-rakan PBB.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pengesahan isi rumah terjejas, pemantauan berterusan terhadap situasi semasa, serta perancangan untuk agihan bantuan makanan dan barangan bukan makanan.

